Sebuah mini filem aksi dan drama bertajuk Taufan al-Aqsa: Menuju Pembebasan Palestin bakal ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman White Stream bermula 19 Februari 2026, bersamaan 1 Ramadan 1447 Hijrah.
Filem terbitan Bumi Mikraj dan Komuniti Dakwah Tarbiah dengan kerjasama MTAS Production itu diarahkan oleh Azfar Hamdii dan menampilkan barisan pelakon tempatan termasuk Aeril Zafrel, Wawa Zainal, Ungku Hariz serta Zaim Shaari.
Menurut penerbitnya, Afiq Jamil, karya berkenaan dihasilkan bagi menjelaskan latar belakang peristiwa 7 Oktober 2023 yang dikenali sebagai “Taufan al-Aqsa”, selain mengetengahkan perspektif umat Islam terhadap konflik Palestin.
“Saya tulis dan terbitkan cerita ini kerana mahu menyampaikan sebab mengapa peristiwa itu berlaku. Masih banyak media memetik naratif Barat bahawa permulaan genosid berpunca daripada pejuang Palestin.
“Saya juga ingin menanamkan bahawa Masjid al-Aqsa merupakan amanah kepada umat Islam, dan mesej ini diterjemahkan melalui medium kreatif supaya dapat difahami masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak produksi memaklumkan tayangan awal akan dibuka pada 18 Februari 2026 melalui akses pra-tempah di platform sama dengan yuran langganan RM10 sebulan, yang akan disalurkan kepada Tabung Palestin Bumi Mikraj.
Mini filem itu dijangka memaparkan aksi dramatik operasi para pejuang Palestin pada Oktober 2023 serta persoalan yang mencetuskan peristiwa bersejarah berkenaan, melalui gabungan elemen aksi dan naratif kemanusiaan. – Dunia Palestin
Dapatkan akses pra-tempah mini filem Taufan al-Aqsa: Menuju Pembebasan Palestin di pautan ini: bit.ly/filemtaufanaqsa