Amerika Syarikat (AS) memaklumkan kepada Qatar bahawa kehadiran Hamas di Doha tidak lagi boleh diterima sejak beberapa minggu lalu selepas kumpulan pejuang Palestin itu menolak cadangan terbaru bagi mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan.
Sehubungan itu, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran kepada Reuters, Washington meminta Doha mengusir Hamas sama sekali dari Qatar.
“Selepas berulang kali menolak cadangan untuk melepaskan tebusan, pemimpin Hamas seharusnya tidak lagi dialu-alukan.
“Kami sudah menjelaskan perkara itu kepada Qatar selepas Hamas menolak satu lagi cadangan pembebasan tebusan beberapa minggu lalu,” kata pegawai itu, yang enggan dikenali.
Qatar kemudian menyampaikan tuntutan berkenaan kepada pemimpin Hamas kira-kira 10 hari lalu, menurut pegawai yang sama.
Washington sedang berbincang dengan Qatar mengenai penutupan pejabat politik Hamas dan menyatakan kepada Doha bahawa kini adalah masa yang sesuai selepas kumpulan berkenaan berulang kali menolak cadangan terbaru itu.
Namun, tiga pegawai Hamas menafikan bahawa Qatar sudah memberitahu pemimpin mereka bahawa kumpulan itu tidak lagi dialu-alukan di negara berkenaan.
Qatar, bersama AS dan Mesir memainkan peranan utama dalam beberapa pusingan rundingan yang masih belum berhasil untuk mewujudkan gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan yang ditahan oleh kumpulan pejuang Hamas di kawasan itu.
Pusingan terbaru rundingan di Doha pada pertengahan Oktober lalu gagal mencapai gencatan senjata, dengan Hamas menolak cadangan gencatan senjata jangka pendek.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar tidak memberikan sebarang maklum balas berkaitan hal berkenaan.
Tahun lalu, seorang pegawai kanan AS menyatakan Qatar sudah memberitahu Washington bahawa mereka terbuka untuk mempertimbangkan semula kehadiran Hamas di negara itu sebaik sahaja perang Gaza berakhir.
Ia berlaku selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, memberitahu pemimpin Qatar dan negara lain di rantau itu bahawa tiada lagi ‘urusan seperti biasa’ dengan Hamas selepas kumpulan itu mengetuai serangan pada 7 Oktober ke atas Israel.
Qatar, yang juga sebuah negara Teluk yang berpengaruh dan diiktiraf sebagai sekutu utama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) oleh Washington, menjadi tuan rumah kepada pemimpin politik Hamas sejak 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan AS.
Sejak 7 Oktober, Qatar menerima kritikan dari dalam AS dan Israel berhubung hubungannya dengan Hamas.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, berulang kali menyatakan sepanjang tahun lalu bahawa pejabat Hamas berada di Doha bagi membolehkan rundingan dengan kumpulan itu, dan selagi saluran berkenaan masih berguna, Qatar akan membenarkan pejabat Hamas kekal di sana.
Sepanjang tahun lalu, perunding dari agensi perisikan Israel, Mossad, berulang kali bertemu dengan perantara di Doha, manakala pegawai kerajaan Qatar kerap berulang-alik untuk berhubung dengan pemimpin Hamas di pejabat politik terbabit. – Berita Harian