Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan penubuhan sebuah “Lembaga Keamanan” baharu yang bertujuan mentadbir Gaza.
Menurut Roya News, lembaga itu dianggotai sepenuhnya oleh ahli politik dan tokoh perniagaan yang sebelum ini menyokong atau mendapat manfaat daripada penindasan penjajah Israel terhadap rakyat Palestin. Tiada satu pun suara Palestin dilibatkan.
Benjamin Netanyahu: Penjenayah perang
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang terhadap kemanusiaan, merupakan antara ahli Lembaga tersebut. Pada September 2025, dia menyatakan, “Tidak akan ada negara Palestin,” mencerminkan penafian berterusan terhadap kedaulatan Palestin.
Jared Kushner: Mengaut keuntungan daripada penjajahan
Menantu Trump, Jared Kushner, seorang pelabur dan bekas penasihat kanan Trump, telah mempromosikan dasar yang menyokong kawalan kekal Israel ke atas tanah Palestin. Dia menyokong pemindahan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis dan dilaporkan menyumbang dana kepada penempatan haram Zionis. Pada Mac 2024, Kushner mencadangkan pemindahan penduduk Gaza dari kawasan tepi pantai untuk “membersihkannya”, dengan menyusun pemindahan manusia sebagai peluang ekonomi.
Tony Blair: Menghalang kenegaraan
Bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair melaksanakan dasar yang menafikan kenegaraan Palestin dan memperkukuh penjahan Israel. Dia juga merupakan antara arkitek utama pencerobohan AS–UK ke atas Iraq, yang dikritik secara meluas sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Marco Rubio: Menyokong pencerobohan ketenteraan
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio telah membiayai dan menyokong kempen ketenteraan Israel di Gaza. Dia menentang gencatan senjata dan mempromosikan dasar yang mempercepat rampasan tanah serta peluasan penempatan haram Zionis. Rubio turut menyasarkan aktivis yang memperjuangkan hak Palestin, termasuk usaha terhadap Mahmoud Khalil.
Steve Witkoff: Membela pemindahan paksa
Utusan Khas AS, Steve Witkoff, membantu merundingkan apa yang digelar sebagai “gencatan senjata”, namun ia gagal menamatkan sekatan ke atas Gaza atau mengakhiri penjajahan ketenteraan. Dia secara terbuka mempertahankan pemindahan rakyat Palestin, dengan menyatakan pada Februari 2025 bahawa “kehidupan yang lebih baik (bagi rakyat Palestin) tidak semestinya terikat dengan ruang fizikal yang mereka diami hari ini.”
Rangkaian global oportunis
Lembaga itu dilaporkan merangkumi pemimpin dan ahli perniagaan dari sekurang-kurangnya 24 negara, termasuk tokoh autoritarian dan individu yang memperoleh keuntungan daripada kempen ketenteraan Israel di Gaza. Para pengkritik memberi amaran bahawa penubuhan Lembaga ini melemahkan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
“Tiada seorang pun daripada mereka sepatutnya menentukan masa depan rakyat Palestin. Itu adalah hak rakyat Palestin sendiri,” kata seorang aktivis hak asasi manusia.
Pengumuman tersebut telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa, dengan kumpulan hak asasi menekankan pengecualian suara Palestin serta potensi berlakunya pelanggaran lanjut terhadap undang-undang antarabangsa. – Dunia Palestin