Minggu al-Quds Sedunia 2026 akan berlangsung selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Januari 2026, bersempena 24 hingga 30 Rejab 1447 Hijrah, dengan matlamat menyatukan umat Islam dan masyarakat dunia dalam memperkukuh sokongan terhadap Gaza, al-Quds dan Palestin.
Dalam satu kenyataan penganjur, edisi tahun ini dianjurkan dalam suasana pasca “Taufan al-Aqsa”, yang disifatkan sebagai detik penting dalam sejarah perjuangan Palestin serta menuntut kesinambungan sokongan politik, kemanusiaan, media dan kesedaran awam di peringkat global.
Menurut kenyataan itu, Minggu al-Quds Sedunia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya berfungsi sebagai platform penyatuan berterusan bagi menggerakkan institusi ulama, badan masyarakat sivil, gerakan politik, penggiat media serta individu daripada pelbagai latar belakang untuk memainkan peranan aktif mempertahankan hak Palestin.
“Edisi 2026 bertujuan menggerakkan ummah agar terus memikul tanggungjawab terhadap apa yang ditinggalkan oleh penjajah berupa kemusnahan dan genosid, di samping memperkukuh naratif Palestin dalam kesedaran masyarakat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Antara objektif utama penganjuran ialah mengintegrasikan peranan institusi keilmuan dan organisasi berkaitan ke dalam projek praktikal sokongan kepada al-Quds dan Palestin, selain memperluas jaringan kerjasama antara ulama, institusi dan aktivis merentas negara.
Pelbagai program berskala antarabangsa dirancang sepanjang minggu berkenaan, termasuk sidang media pusat pada hari pertama, diikuti program “Taufan Wanita” pada hari kedua, persidangan global secara dalam talian, khutbah Jumaat bersepadu serta perhimpunan aman selepas solat Jumaat.
Program dirancang turut merangkumi penganjuran pertemuan nasyid antarabangsa, perarakan global sempena peringatan Israk dan Mikraj, serta acara penutupan dengan pembentangan projek kebajikan dan kenyataan penutup yang dinamakan “Taufan Kebaikan”.
Selain itu, penganjur turut menggalakkan pelaksanaan aktiviti sokongan sepanjang minggu berkenaan, termasuk kempen digital bersepadu di media sosial, penggunaan logo rasmi Minggu al-Quds Sedunia dalam semua program, penyelarasan khutbah Jumaat berkaitan isu Palestin, doa bersama pada waktu sahur serta penekanan terhadap isu tahanan Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Penganjur menyeru semua pihak berkaitan, termasuk institusi rasmi, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh masyarakat, penggiat media dan individu berpengaruh, agar bekerjasama dan menyelaras usaha bagi memastikan Minggu al-Quds Sedunia 2026 memberi impak maksimum kepada kesedaran dan solidariti dunia terhadap Gaza, al-Quds dan Palestin. – Dunia Palestin