Persidangan Gaza yang berlangsung di Istanbul memberi amaran mengenai tiga bentuk perang yang sedang dihadapi rakyat Palestin, sambil menyeru tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan penderitaan berterusan di Semenanjung Gaza, menurut Anadolu.
Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS) menegaskan Gaza bukan sahaja berdepan serangan ketenteraan, tetapi juga ancaman kemanusiaan melalui kelaparan dan pengepungan berterusan, serta penghinaan menerusi kebisuan masyarakat Arab, Islam dan antarabangsa.
Para sarjana dalam persidangan itu menekankan bahawa keadaan ini sebagai “ujian sebenar” kepada dunia Islam, dengan menegaskan isu Gaza dan Baitulmaqdis bukan sahaja berkait dengan iman dan maruah umat Islam, tetapi merupakan tanggungjawab sejagat setiap insan yang cintakan kebebasan.
Kenyataan bersama itu turut memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa penerusan kekejaman di Gaza hanya akan membangkitkan kemarahan umat Islam dan mencetuskan gerakan massa besar-besaran di seluruh dunia Islam.
“Diam adalah pengkhianatan, pengkhianatan adalah kemarahan, dan kemarahan adalah kebangkitan,” tegas para sarjana sambil mengingatkan kerajaan-kerajaan Muslim mengenai tanggungjawab mereka.
KUMS turut menegaskan tekad untuk terus berperanan menghentikan kekejaman tersebut, melalui doa dan tindakan konkrit, demi memastikan kemenangan dan mengakhiri penderitaan rakyat Gaza.
Persidangan bertajuk “Tanggungjawab Islam dan Kemanusiaan: Gaza” itu dianjurkan bersama oleh KUMS dan Yayasan Ulama Islam di Turki, menghimpunkan lebih 150 sarjana dan wakil dari lebih 50 negara.
Acara berkenaan, yang berlangsung sejak Jumaat lalu di Pulau Demokrasi dan Kebebasan, Istanbul, dijadual berakhir pada 29 Ogos di Masjid Hagia Sophia dengan pengumuman “Deklarasi Istanbul” yang akan mengetengahkan langkah politik, kemanusiaan dan perundangan untuk menyokong Palestin. – Dunia Palestin