Sidang Kemuncak Negara Teluk seru hentikan genosid di Gaza

Anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menghadiri Mesyuarat Ke-45 pertubuhan itu di Kuwait. Foto ihsan Pejabat Presiden UAE / AFP

Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-45 menyeru agar genosid Israel yang berlanjutan di Semenanjung Gaza dihentikan serta menzahirkan solidariti terhadap Lubnan, lapor Agensi Anadolu.

Seruan itu dibuat menerusi pengisytiharan sidang kemuncak yang disampaikan oleh Setiausaha Agung GCC, Jasem Al-Budaiwi dalam sidang media di penghujung sidang kemuncak yang berlangsung di Kuwait.

Dalam pengisytiharan itu, pemimpin menyarankan agar pembunuhan dan hukuman kolektif di Gaza, pengusiran penduduk dan pemusnahan kemudahan awam serta infrastruktur dihentikan, termasuk kemudahan kesihatan, sekolah dan tempat ibadat yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pemimpin turut mengalu-alukan resolusi sidang kemuncak Arab-Islam luar biasa yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada 11 November lalu, untuk meningkatkan tindakan antarabangsa bagi menghentikan peperangan di Gaza dan mencapai keamanan yang berkekalan serta komprehensif serta melaksanakan penyelesaian dua negara mengikut Inisiatif Keamanan Arab.

Mereka juga memuji usaha Qatar untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata Gaza dan pertukaran tawanan.

Pemimpin GCC turut mengutuk pencerobohan berterusan Israel terhadap Lubnan dan memberi amaran mengenai bahaya konflik ini serta peluasan peperangan yang boleh mengundang akibat buruk kepada rakyat di rantau ini dan terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Mereka mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Lubnan dan berharap ia menjadi langkah ke arah menghentikan peperangan dan mengunduran tentera Israel dari wilayah itu, pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, serta kepulangan penduduk ke rumah mereka.

Pemimpin GCC juga memuji usaha berterusan Arab Saudi dan Oman dalam menyatukan semua pihak di Yaman (kerajaan dan kumpulan Houthi) bagi memulihkan semula proses politik.

Mereka menegaskan semula komitmen GCC terhadap pendekatan damai dengan mengutamakan dialog dan diplomasi untuk menyelesaikan semua pertikaian di rantau ini dan seterusnya selaras dengan keperluan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu bersetuju supaya smeua pihak menghormati kedaulatan negara, integriti wilayah, perpaduan nasional dan kemerdekaan politik mereka, serta mengelakkan penggunaan atau ancaman kekerasan.

Selain itu, mereka menyeru agar mempercepatkan penubuhan pasaran digital bersatu untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan daya saing global antara negara-negara GCC.

Sidang kemuncak itu ipengerusikan oleh Amir Kuwait, Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah turut dihadiri oleh Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Naib Presiden UAE, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Putera Mahkota Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa, dan Timbalan Perdana Menteri Oman, Fahd Mahmoud Al Said.

Sidang kemuncak itu diakhiri dengan persetujuan untuk mengadakan mesyuarat seterusnya di Abu Dhabi, UAE. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas kecam keputusan Ben Gvir rampas pembesar suara masjid

Next Post

UNRWA: Rakyat Palestin di Gaza bergantung sepenuhnya bantuan kemanusiaan

Related Posts