Pegawai Israel menegaskan mahu mengekalkan kebolehan menyerang Lubnan pada bila-bila masa sebagai salah satu syarat untuk mendapatkan gencatan senjata dengan Hizbullah yang disokong Iran, kata Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot.
Bercakap dalam sesi pendengaran Parlimen selepas mengadakan perbincangan di Israel minggu lalu di baitulmaqdis, Barrot menyatakan bahawa syarat itu semakin kerap disuarakan dalam kalangan pegawai Israel.
“Hari ini kita mendengar suara-suara di Israel yang mahu mengekalkan kebolehan untuk menyerang pada bila-bila masa, bahkan memasuki Lubnan, seperti yang berlaku dengan jirannya Syria.
“Ini tidak selari dengan kedaulatan sebuah negara yang kuat,” kata Barrot, merujuk kepada usaha lebih luas untuk membantu memperkukuh pemerintahan Lubnan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer, dan Menteri Pertahanan baharu, Israel Katz, minggu lalu.
Beberapa diplomat menyatakan bahawa adalah hampir mustahil untuk mendapatkan persetujuan daripada Hizbullah mahupun Lubnan bagi sebarang cadangan membabitkan tuntutan seumpama itu.

Tiada sebarang komen segera daripada Israel berhubung kenyataan itu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sebelum ini menyatakan: “Kami tidak akan membenarkan sebarang penyelesaian yang tidak merangkumi pencapaian objektif peperangan – dan mengatasi segalanya ialah hak Israel untuk bertindak sendiri terhadap sebarang aktiviti pengganas”.
Perancis, yang mempunyai hubungan sejarah dengan Lubnan, berusaha memainkan peranan untuk mencapai gencatan senjata di negara Asia Barat itu.
Ia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan gencatan senjata sementara, namun perbincangan itu terhenti pada akhir September.
Penyelarasan antara Paris dan pentadbiran AS yang bakal tamat tempoh menjadi lebih rumit selepas itu, dengan utusan AS, Amos Hochstein, menumpukan perhatian pada cadangannya sendiri.
Barrot menyatakan adalah tidak masuk akal bagi Perancis untuk mengetuai inisiatif secara bersendirian mengenai Lubnan memandangkan ia memerlukan AS untuk meyakinkan Israel.
“Ia sama seperti Washington bertindak sendiri, kerana akan ‘kurang memahami dinamik politik dalaman Lubnan’, tidak seperti Perancis yang mempunyai hubungan sejarah dengan negara itu,” katanya. – Berita Harian