Malaysia guna sidang kemuncak negara Arab-Islam pertahan UNRWA

Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam, untuk meraih sokongan negara Arab dan Islam bagi menghalang keputusan Parlimen Israel ‘melenyapkan’ Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata melalui sidang kemuncak itu yang bakal berlangsung di Riyadh, 11 November ini, Malaysia akan mengusulkan supaya sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya dalam memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Kehadiran saya ke Sidang Kemuncak tergempar ini adalah untuk membawa mandat Dewan (Rakyat) ini, iaitu mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Pencerobohan dan pemusnahan pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki, serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan; dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 28 Oktober lalu, Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Oktober lalu, mengumumkan larangan terhadap UNRWA daripada beroperasi di wilayah dan kawasan diduduki Israel.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu ternyata memburukkan lagi situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama.

Beliau berkata, berdasarkan sidang kemuncak itu, salah satu pendekatan yang boleh diambil adalah bagi negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar.

“Sejak Mei lepas, tiga negara ini sudah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit.

“Penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga sebahagian usaha untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza, menggesa pembebasan tahanan Palestin dan menangani penderitaan rakyat Palestin menerusi penyambungan segera bantuan kemanusiaan,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia juga akan membincangkan pembangunan pelan tindakan dan mengenal pasti langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan negara Palestin dalam tempoh garis masa yang munasabah dan jelas. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Deklarasi Balfour

Next Post

Turkiye kekal gantung perdagangan dengan Israel

Related Posts