Turkiye mengemukakan permintaan rasminya untuk menyertai tuntutan kes pembunuhan beramai-ramai Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Media Turkiye melaporkan, delegasi Parlimen Turkiye yang diiringi duta Turkiye ke Belanda memfailkan pengisytiharan campur tangan di ibu pejabat ICJ di The Hague.
Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dikenali sebagai Mahkamah Dunia, akan membuat keputusan muktamad penerimaan kes itu.
Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, Kementerian Luar Turkiye berkata, keputusan Ankara untuk campur tangan mencerminkan pendirian negara untuk menyelesaikan isu Palestin dalam rangka kerja undang-undang dan keadilan.
“Hati nurani kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa akan mempertanggungjawabkan pegawai Israel,” katanya.
Menteri Luar Negeri, Hakan Fidan juga berkata dalam mesej di platform media sosial X bahawa masyarakat antarabangsa mesti melakukan tanggungjawab mereka untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan memberikan tekanan yang diperlukan ke atas Israel dan penyokongnya.
“Turkiye akan berusaha sedaya upaya untuk berbuat demikian.”
Turkiye kini menjadi negara ketujuh yang secara rasmi ingin menyertai kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa selepas Colombia, Nicaragua, Sepanyol, Libya, Palestin dan Mexico.
Afrika Selatan memulakan kes terhadap Israel pada Disember 2023. Dalam permohonannya, Pretoria berkata, tindakan Israel di Gaza adalah bersifat genosid.
Pada Januari tahun ini, ICJ mengarahkan rejim Israel untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh jatuh di bawah Konvensyen Genosid dan memastikan tenteranya tidak melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Kempen kematian dan kemusnahan dilakukan rejim pendudukan terhadap Gaza sejak 10 bulan lalu, setakat ini telah meragut nyawa hampir 40,000 rakyat Palestin – lebih 15,000 daripadanya kanak-kanak. – Ismaweb