Menteri Keselamatan Israel ekstremis, Itamar Ben-Gvir pada Khamis menggesa agensi keselamatan dalam negeri Shin Bet supaya menahan pemimpin parti-parti politik Arab.
Menurut Roya News, Ben-Gvir menggesa Shin Bet mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang dengan segera terhadap tokoh-tokoh parti Arab.
“Shin Bet mesti mengarahkan penahanan ketua-ketua parti Arab seawal pagi ini kerana disyaki terlibat dalam isu dana Qatar, selain semua suspek lain dalam kes berkenaan, termasuk tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan cabang-cabangnya, sekiranya terdapat asas perundangan untuk penahanan mereka,” katanya.
Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu turut menuduh gabungan politik Arab merancang penipuan pilihan raya secara sistematik ketika pengundian pada 27 Oktober lalu.
“Pilihan raya di Israel telah dicuri oleh parti-parti Arab yang menyokong keganasan dan kemusnahan negara Yahudi menerusi pelbagai kesalahan jenayah serius, termasuk rasuah, ugutan, keganasan, pemalsuan dan penggunaan perisian yang dilarang untuk menggerakkan pengundi,” menurut kenyataan Likud.
Bagaimanapun, ahli parlimen Arab dan tokoh pembangkang menolak tuduhan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai usaha terancang untuk menafikan legitimasi perwakilan politik masyarakat Arab serta mencabar keseimbangan kuasa parlimen yang tidak memihak kepada mereka.
Senarai Bersatu Arab (Ra’am) pimpinan Mansour Abbas turut menolak dakwaan salah laku pilihan raya itu sebagai tuduhan tidak berasas yang bertujuan mengalihkan perhatian daripada perubahan kedudukan kerusi di parlimen. – Dunia Palestin