Operasi serang hendap oleh Hamas berhampiran garisan kuning di kem Jabalia, utara Semenanjung Gaza dilaporkan mengorbankan dua anggota kumpulan militia yang bersekutu dengan Israel pada awal pagi Khamis.
Quds News Network melaporkan serang hendap itu turut mencederakan beberapa anggota militia berkenaan, memaksa unit tersebut berundur ke kawasan timur kem di bawah perlindungan tembakan Israel.
Tentera penjajah Israel kemudiannya menggunakan helikopter untuk memindahkan anggota yang cedera serta mayat anggota militia selepas kumpulan berkenaan berundur.
Pengunduran tersebut berlaku selepas helikopter tentera Israel melepaskan tembakan di sekitar kem berkenaan selepas tengah malam, ketika bedilan artileri turut menyasarkan beberapa kawasan di utara Gaza.
Beberapa orang awam dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di sepanjang jalan raya, susulan kegagalan pasukan ambulans serta pertahanan awam untuk sampai ke lokasi.
Pertempuran itu merupakan insiden terbaharu yang melibatkan kumpulan bersenjata yang muncul di beberapa kawasan Gaza di bawah kawalan tentera penjajah Israel sejak pengaturan gencatan senjata garisan kuning berkuat kuasa.
Garisan kuning itu menjadi penanda sempadan kawasan yang masih menempatkan tentera penjajah Israel di dalam Semenanjung Gaza.
Hamas dan beberapa kumpulan Palestin lain sebelum ini mendakwa sejumlah kumpulan militia terbabit bekerjasama dengan tentera Israel.
Antara kumpulan yang disebut ialah pasukan yang dikaitkan dengan Yasser Abu Shabab, yang dilaporkan beroperasi di kawasan berhampiran Rafah serta di sepanjang bahagian timur Bandar Gaza dan Jabalia. – Dunia Palestin