Delegasi pimpinan Hamas menamatkan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini selepas mengadakan beberapa siri pertemuan, termasuk dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan delegasi itu turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kerajaan, wakil parti politik serta pertubuhan masyarakat sivil dalam usaha memperkukuh hubungan dengan negara sahabat dan membincangkan perkembangan terkini isu Palestin.
Menurut kenyataan itu, perbincangan tertumpu kepada rundingan semasa bagi melaksanakan perjanjian gencatan senjata di Gaza, selain situasi kemanusiaan yang semakin meruncing akibat pelanggaran berterusan terhadap perjanjian berkenaan.
Delegasi itu turut membangkitkan situasi di Tebing Barat, termasuk dasar pengilhakan, usaha yahudisasi Baitulmaqdis, penutupan Masjid al-Aqsa dan Gereja Holy Sepulchre, serta pencabulan terhadap tahanan Palestin.
“Dalam pertemuan ini, turut dibincangkan usaha memperkukuh sokongan politik dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui beberapa inisiatif dan projek tertentu,” menurut kenyataan itu.
Delegasi berkenaan dianggotai Ahli Biro Politik Hamas di Gaza, Dr Basem Naim, Timbalan Ketua Biro Hubungan Dunia Arab dan Islam Hamas, Fawzi Barhoum serta wakil Hamas di Malaysia.
Hamas memaklumkan pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana positif dengan Malaysia menzahirkan pendirian teguh menyokong hak rakyat Palestin untuk kebebasan, menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Delegasi itu turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia, termasuk kepimpinan, kerajaan dan rakyat, atas sokongan berterusan terhadap perjuangan Palestin di pelbagai pentas antarabangsa. – Dunia Palestin