Gaza memerlukan anggaran AS$71.4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi pemulihan dan pembinaan semula selepas 24 bulan konflik, menurut penilaian bersama Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Anadolu.
Penilaian Gaza Rapid Damage and Needs Assessment (RDNA) menyatakan AS$26.3 bilion diperlukan dalam tempoh 18 bulan pertama bagi memulihkan perkhidmatan asas, membina semula infrastruktur kritikal dan menyokong pemulihan ekonomi.
Laporan itu menganggarkan kerosakan infrastruktur fizikal di Gaza berjumlah AS$35.2 bilion, manakala kerugian ekonomi dan sosial dianggarkan AS$22.7 bilion.
Sektor yang paling terjejas ialah perumahan, kesihatan, pendidikan, perdagangan dan pertanian.
Menurut laporan tersebut, lebih 371,888 unit rumah musnah atau rosak, lebih separuh hospital tidak berfungsi, dan hampir semua sekolah musnah atau rosak.
Ekonomi Gaza juga menguncup sebanyak 84%, manakala kesan konflik terhadap pembangunan manusia disifatkan sebagai bencana, dengan kemunduran pembangunan di wilayah itu dianggarkan mencecah 77 tahun.
Kira-kira 1.9 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya berulang kali, dan lebih 60% populasi kehilangan rumah.
Wanita, kanak-kanak, individu kurang upaya dan kumpulan rentan lain menanggung beban paling besar akibat konflik tersebut.
Laporan itu menyediakan asas analisis bagi perancangan pemulihan awal dan pembinaan semula selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2803.
EU dan PBB menegaskan usaha pemulihan mesti berjalan seiring dengan bantuan kemanusiaan serta menyokong peralihan kepada pembinaan semula berskala besar meliputi Gaza dan Tebing Barat.
Menurut mereka, pembinaan semula perlu diterajui rakyat Palestin dan selari dengan proses politik lebih luas ke arah penyelesaian dua negara, di samping menekankan bahawa gencatan senjata berterusan, akses kemanusiaan, pemulihan perkhidmatan asas, kebebasan pergerakan manusia dan barangan, tadbir urus yang jelas serta sokongan kewangan antarabangsa merupakan syarat penting bagi menjayakan usaha tersebut. – Dunia Palestin