Hamas menyeru rakyat Palestin, bangsa Arab dan umat Islam, serta masyarakat antarabangsa supaya mengadakan demonstrasi besar-besaran dan pelbagai aktiviti solidariti bagi mempertahankan Masjid al-Aqsa serta menyokong tahanan Palestin di penjara Israel pada 3 hingga 5 April ini.
Dalam satu kenyataan, Hamas menyatakan seruan itu dibuat susulan peningkatan pencerobohan dan pelanggaran serius terhadap Masjid al-Aqsa, termasuk penutupan secara sewenang-wenangnya, selain peningkatan jenayah sistematik oleh kerajaan penjajah Israel terhadap tahanan Palestin.
Menurut kenyataan itu, kelulusan undang-undang berkaitan hukuman mati terhadap tahanan Palestin oleh penjajah Israel disifatkan sebagai tindakan berbahaya yang menuntut reaksi segera masyarakat antarabangsa.
Hamas menyeru orang ramai supaya menggembleng usaha dengan menyertai perarakan serta aktiviti di ibu negara, bandar dan dataran awam di seluruh dunia sebagai tanda solidariti terhadap Masjid al-Aqsa dan tahanan Palestin.
Gerakan itu turut menetapkan Jumaat, 3 April sebagai hari mobilisasi besar-besaran dengan tema “Jumaat al-Masra (al-Aqsa) dan al-Asra (para tahanan)” bagi menzahirkan sokongan kepada Masjid al-Aqsa serta solidariti terhadap tahanan Palestin di penjara Israel.
Menurut Hamas, aktiviti solidariti bagi mempertahankan Masjid al-Aqsa dan menyokong tahanan Palestin perlu diteruskan secara konsisten, di samping memperkukuh gerakan global untuk menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin. – Dunia Palestin