Gerakan Hamas pada Isnin mengeluarkan kenyataan rasmi memuji serangan yang dilakukan oleh dua pejuang Palestin berhampiran persimpangan penempatan haram Ramot di utara Baitulmaqdis yang dijajah.
Menurut kenyataan itu, serangan berkenaan disifatkan sebagai tindak balas semula jadi terhadap “pelbagai jenayah penjajah Israel” dan “pembunuhan beramai-ramai” yang sedang berlangsung terhadap rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
“Operasi ini adalah mesej jelas bahawa rancangan Israel untuk menjajah dan memusnahkan Gaza serta mencemari Masjid al-Aqsa tidak akan berlalu tanpa hukuman,” kata Hamas.
Hamas turut menegaskan bahawa tindakan itu berlaku di tengah-tengah kota Baitulmaqdis dan memberi tamparan kepada keselamatan rejim Israel, sekali gus membuktikan tekad generasi muda Palestin untuk terus berjuang menentang penindasan.
Ia juga menyatakan bahawa projek Israel untuk melemahkan rakyat Palestin dan mematahkan semangat perjuangan mereka tidak akan berjaya, sebaliknya “akan hancur di hadapan ketabahan dan keberanian rakyat Palestin.”
Hamas dalam kenyataan sama menyeru penduduk Palestin di Tebing Barat agar terus meningkatkan penentangan terhadap tentera dan pendatang haram Israel, serta menegaskan hak rakyat Palestin untuk kebebasan dan menamatkan penjajahan. – Dunia Palestin