Hamas: Kecaman negara dunia tanpa tindakan tidak lagi dipedulikan Israel

Ketua Hamas di Gaza, Dr Khalil al-Hayya menyatakan penghargaan kepada rakyat dunia yang terus menunjukkan solidariti terhadap penduduk Palestin, khususnya di Gaza, yang kini berhadapan serangan tanpa henti dan sekatan kemanusiaan oleh rejim Zionis.

Dalam kenyataan terbaharunya, beliau berkata pelbagai pihak dari seluruh dunia telah menzahirkan sokongan melalui aktiviti solidariti dan perarakan besar-besaran di ibu kota dan bandar-bandar utama.

“Kami menghargai semua pihak yang telah menyatakan solidariti mereka bersama rakyat kami, sama ada dari parti, gerakan, tokoh individu melalui pelbagai aktiviti dan perarakan besar di ibu kota dan bandar di seluruh dunia, termasuk mereka yang mempertaruhkan nyawa merentas laut dan darat untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Al-Hayya mengecam sikap negara-negara dan entiti rasmi yang menurutnya sekadar mengeluarkan kenyataan dan kecaman tanpa sebarang tindakan konkrit untuk menghentikan kekejaman Israel.

“Kami mengecam sikap negara dan entiti rasmi yang hanya cukup dengan kenyataan dan kecaman, yang kini bukan sahaja tidak mencukupi, malah tidak lagi diambil kira oleh penjajah Zionis.

Beliau turut mengkritik tindakan terbaharu Amerika Syarikat yang menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap resolusi yang bertujuan memecahkan sekatan ke atas Gaza dan memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong Gaza bukan sahaja melalui perkataan, tetapi juga dengan menyertai perlawanan bersenjata menentang rejim Zionis.

“Kami amat menghargai mereka yang turun ke medan pertempuran, khususnya saudara seiman yang jujur di Yaman, yang masih melancarkan roket ke arah musuh Zionis meskipun mereka sendiri berdepan serangan kejam,” katanya.

Serangan kejam Zionis yang berterusan sejak 7 Oktober tahun lalu telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin, dengan majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan kehancuran besar terhadap infrastruktur awam di Gaza. Sekatan ketat yang dikenakan turut menjejaskan penghantaran bantuan kemanusiaan, makanan, dan perubatan ke wilayah tersebut. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apakah sebenarnya yang rakyat Palestin mahukan dari umat Islam?

Related Posts