Enam bayi baru lahir meninggal dunia akibat cuaca sejuk di Gaza

Gambar fail menunjukkan lelaki Palestin memegang tangan anak saudaranya berusia tiga minggu yang meninggal dunia akibat hypothermia di selatan Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan pada Selasa, enam bayi baru lahir telah meninggal dunia akibat gelombang sejuk di Palestin sejak minggu lalu.

“Akibat gelombang sejuk yang melampau dan kekurangan pemanas, kami mencatatkan kematian enam bayi baru lahir dalam tempoh seminggu sehingga hari ini,” kata jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, kepada AFP.

Ahli kaji cuaca melaporkan, suhu telah turun kepada sifar darjah Celsius sejak beberapa hari kebelakangan ini ketika cuaca sejuk melanda kawasan timur Mediterranean.

Walaupun gencatan senjata yang berterusan antara Israel dan Hamas telah meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza, ratusan ribu penduduk Palestin masih tinggal di dalam khemah.

Ramai yang berlindung di runtuhan bekas kediaman mereka dan berdepan kesukaran untuk bertahan hidup dalam suhu yang semakin menurun.

Hamas berulang kali menuduh Israel menghalang bahan perlindungan daripada dihantar kepada 2.4 juta penduduk Gaza, kebanyakan mereka telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang.

Hamas menyalahkan kematian enam bayi baru lahir itu ke atas tindakan Israel yang menyekat bahan bantuan.

“Kami menyeru para perantara untuk segera bertindak menghentikan pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pihak penjajah… dan memudahkan kemasukan bekalan penting seperti tempat perlindungan, pemanas dan barangan perubatan segera ke Gaza,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

“Ini sangat penting untuk melindungi kanak-kanak di Gaza.” – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel tingkat kesiapsiagaan di Gaza susulan ketegangan gencatan senjata

Next Post

Hamas: Israel akan bebaskan 620 tahanan selepas penangguhan

Related Posts