Jurucakap tentera Briged al-Qassam, Abu Ubaidah, menegaskan bahawa Operasi Taufan al-Aqsa yang bermula dari Gaza telah mengubah wajah rantau ini, membuka medan konflik baharu, dan mencipta dimensi baharu dalam pertempuran dengan rejim Zionis.
Dalam kenyataan menerusi video yang dimuat naik di saluran Telegramnya selepas 471 hari pelancaran operasi tersebut, Abu Ubaidah menyifatkan Taufan al-Aqsa sebagai pertempuran bersejarah yang “telah memaku paku terakhir pada keranda rejim Zionis yang bakal lenyap.” Beliau menambah bahawa rejim tersebut kini terpaksa bergantung pada bantuan kuasa antarabangsa untuk menyelamatkan kedudukannya.
“Pertempuran ini membuktikan kepada dunia bahawa kewujudan rejim penjajah adalah satu pembohongan besar, dan penerusan penjajahan ini akan memberi kesan mendalam kepada rantau ini serta dunia keseluruhannya,” katanya.
Abu Ubaidah turut memuji keteguhan rakyat Palestin sepanjang tempoh 471 hari pertempuran, sambil menyifatkan pengorbanan luar biasa mereka sebagai bukti kekuatan perjuangan. Beliau turut menonjolkan keberanian pemimpin Palestin, termasuk Ismail Haniyeh, Saleh al-Arouri, dan Yahya al-Sinwar, yang gugur sebagai syahid dalam pertempuran ini.
“Kami bertempur bersama semua faksi perjuangan dalam satu barisan. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, kami tetap berjaya memberikan pukulan hebat kepada musuh dengan keberanian yang luar biasa,” katanya.
Menurut Abu Ubaidah, kekejaman rejim Zionis yang menggunakan pendekatan barbar terhadap rakyat Palestin semakin menyerlahkan “wajah sebenar” penjajah tersebut.
Beliau menegaskan bahawa usaha untuk “mengintegrasikan rejim Zionis” dalam rantau ini akan terus ditentang oleh kesedaran dan semangat perjuangan rakyat.
Menyentuh mengenai gencatan senjata yang dipersetujui, Abu Ubaidah menyatakan bahawa komitmen pejuang Palestin terhadap perjanjian tersebut bergantung sepenuhnya pada kejujuran rejim Zionis dalam mematuhinya. Beliau juga menggesa para perantara untuk memastikan Israel melaksanakan perjanjian itu.
Abu Ubaidah turut menyampaikan penghargaan kepada Ansarullah di Yaman, Hezbollah di Lubnan, dan pejuang di Iraq serta Jordan atas sokongan mereka dalam perjuangan ini.
“Salam hormat juga kepada saudara kita di Tebing Barat, khususnya Jenin, yang menjadi saudara kembar Gaza dalam keberanian dan ketabahan,” tambahnya. – Dunia Palestin