Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam, mengumumkan pemergian pemimpin utamanya, Yahya Al-Sinwar, yang telah gugur syahid dalam pertempuran yang berlangsung di Gaza.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Al-Qassam, Yahya Al-Sinwar, yang dikenali dengan nama panggilan “Abu Ibrahim”, syahid dalam pertempuran mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan hak-hak sah rakyat Palestin.
Al-Qassam menyatakan kebanggaannya kerana Hamas terus mempersembahkan pemimpin-pemimpin mereka sebagai syuhada sebelum para pejuang yang lain, mencerminkan komitmen gerakan itu dalam menuntut pembebasan tanah Palestin.
Kehidupan Al-Sinwar, yang dilahirkan di Khan Yunis, digambarkan sebagai perjalanan jihad yang terhormat. Beliau merupakan salah seorang pengasas gerakan Hamas dan memainkan peranan penting dalam pembinaan sayap ketenteraan serta operasi keselamatan Hamas.
Selepas dipenjarakan oleh Israel selama lebih dari dua dekad, Al-Sinwar dibebaskan dalam perjanjian pertukaran tahanan “Wafa al-Ahrar” pada tahun 2011. Sejak pembebasannya, beliau terus memimpin usaha ketenteraan Hamas, termasuk menyelaraskan operasi di pelbagai wilayah Gaza dan memainkan peranan dalam menyatukan barisan-barisan pejuang Palestin.
Di bawah kepemimpinannya, Hamas menyaksikan perubahan signifikan dalam arah politik dan ketenteraannya, yang mencapai puncaknya melalui operasi “Taufan Al-Aqsa.” Briged Al-Qassam juga menegaskan bahawa walaupun selepas syahidnya Al-Sinwar, semangat jihad akan terus membara di kalangan para pejuang Palestin sehingga pembebasan tanah Palestin dan pengusiran sepenuhnya rejim Zionis dari bumi suci itu.
“Walaupun Israel berusaha mematahkan semangat kami dengan membunuh pemimpin-pemimpin besar kami, mereka tidak akan berjaya memadamkan semangat perjuangan rakyat Palestin,” tegas kenyataan tersebut.
Al-Qassam juga memberi amaran bahawa kematian Al-Sinwar hanya akan memperhebatkan perjuangan terhadap Israel, dengan ratusan ribu pejuang bersedia meneruskan misi membebaskan Palestin.
Dengan pemergian Al-Sinwar, Hamas berikrar bahawa darah para pemimpin mereka akan menjadi obor yang menerangi jalan menuju pembebasan dan bara api yang akan membakar penjajah Israel. – Dunia Palestin