Siapakah Mohammed Deif, Panglima Tertinggi Briged Al-Qassam?

Panglima Tertinggi Briged Al-Qassam, Mohammed Deif berjaya menyelamatkan diri daripada satu lagi percubaan Israel untuk membunuhnya dan kini berada dalam keadaan baik, kata pegawai kanan Gerakan Islam Perjuangan Palestin (Hamas). 

“Komander Mohammed Deif dalam keadaan baik dan terus memantau operasi sayap tentera Hamas,” katanya kepada agensi berita AFP.

Israel sebelum ini mendakwa, pengeboman ke atas kem al-Mawasi adalah untuk membunuh Mohammed Deif, pemimpin yang telah lama mendahului senarai paling dikehendaki Israel.

Mohammed Deif adalah salah seorang pengasas sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, pada 1990-an dan telah mengetuai pasukan itu selama lebih 20 tahun. 

Beliau juga dikatakan antara tokoh penting yang merancang pengeboman berani mati yang membawa kepada kematian berpuluh-puluh rakyat Israel.

Israel mengenal pasti beliau dan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, sebagai ketua arkitek serangan 7 Oktober yang membunuh sekurang-kurangnya 1,139 orang di selatan Israel.

Pada pagi 7 Oktober, Hamas didakwa telah mengeluarkan rakaman suara Mohammed Deif mengumumkan operasi Taufan Al-Aqsa – sebagai serangan balas terhadap serbuan Israel di Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis, tapak ketiga paling suci Islam.

Mohammed Deif, 58, jarang bercakap atau muncul di khalayak ramai. Oleh itu, apabila saluran TV Hamas mengumumkan beliau akan bercakap pada 7 Oktober, rakyat Palestin di Gaza mengetahui sesuatu yang penting sedang berlaku.

Bercakap dengan suara tenang dalam rakaman itu, Mohammed Deif berkata, Hamas telah berulang kali memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan jenayahnya terhadap rakyat Palestin, membebaskan tahanan, dan menghentikan rampasan tanah Palestin.

“Hari ini kemarahan Al-Aqsa, kemarahan rakyat dan negara kita meletup. Hari ini adalah hari anda untuk membuat penjenayah memahami bahawa zamannya telah berakhir,” kata Mohammed Deif.

‘Wira rakyat’ dari Khan Younis

Dilahirkan pada 1965 di kem pelarian Khan Younis, yang ditubuhkan selepas Perang Arab-Israel 1948, Mohammad Masri dikenali sebagai Mohammed Deif selepas menyertai Hamas semasa Intifada pertama, atau kebangkitan Palestin, pada 1987.

Mohammed Deif mempunyai ijazah dalam bidang Sains dari Universiti Islam di Gaza, di mana beliau mempelajari Fizik, Kimia dan Biologi. Beliau pernah mengetuai jawatankuasa hiburan universiti dan sering membuat persembahan di atas pentas.

Pada tahun 1989, semasa kemuncak Intifada Palestin pertama, Mohammed Deif telah ditangkap oleh Israel dan dibebaskan selepas 16 bulan dalam tahanan. Beliau menjadi Ketua Briged Al-Qassam pada 2002 selepas Israel membunuh pendahulunya dan ketua pengasasnya, Salah Shehadeh.

Beberapa cabaran dalam hidupnya bermula selepas beliau menggantikan Shehadeh.

Deif bermaksud “pelawat” atau “tetamu” dalam bahasa Arab, dan ada yang mengatakan itu kerana Panglima Tertinggi ini sentiasa bergerak memburu pengganas Israel.

Menurut laporan, Mohammed Deif kehilangan mata dan mengalami kecederaan serius di sebelah kaki dalam salah satu percubaan pembunuhan Israel. Kelangsungan hidup beliau semasa menerajui sayap bersenjata Hamas menjadikan beliau ‘wira rakyat’ di kalangan rakyat Palestin.

Berada dalam Hamas lebih 30 tahun, Mohammed Deif dipercayai telah membangunkan rangkaian terowong kumpulan itu dan kepakaran membuat bom.

Pada Ogos 2014, isteri Mohammed Deif dan anak lelaki berusia tujuh bulan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Gaza di mana keluarga itu tinggal.

Pada bulan Mei, pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata, beliau telah meminta waran tangkap untuk Mohammed Deif, Sinwar dan seorang lagi tokoh Hamas berhubung serangan 7 Oktober itu. 

Waran turut dikeluarkan untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Yoava Gallant berhubung tindak balas Israel yang setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 38,584 orang, dalam apa yang disifatkan kumpulan hak asasi sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan. – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ismail Haniyeh seru agar Israel ditekan untuk ‘menamatkan pencerobohan’

Next Post

Hari Asyura: Taghut akan berakhir bila tiba masanya

Related Posts