Itulah dia Muhamad Deif. Disifatkan sebagai individu yang mustahil. Kerana mustahil untuk ditangkap & dibunuh.
Sudah berkali-kali usaha untuk membunuh beliau, namun gagal sama sekali! Siapakah Deif yang misteri ini?
Nama sebenar beliau ialah Muhamad Diab Ibrahim al-Misri. Tetapi lebih dikenali dengan Muhamad Deif, kerana cara kehidupannya yang berpindah randah atas sebab keselamatan. Dilahirkan pada tahun 1965 di Khan Younis, Gaza. Asal keluarganya dari al-Qubaibah, Baitul Maqdis.
Pada tahun 1987, beliau telah bergabung dengan Hamas sejak menjadi pelajar. Bahkan, beliau telah menjadi ahli yang proaktif. Pada tahun 1988, beliau berjaya tamatkan degree beliau dalam Bidang Sains dari Uni. Islam Gaza.
Ramai yang tidak ketahui tentang satu minat Deif akan seni lakonan pentas/pentomen islamik. Beliau mempunyai satu kumpulan yang dinamakan sebagai al-’Aidun. Kumpulan ini berjaya membangkitan semangat rakyat Palestin untuk menuntut hak ke atas tanah mereka.
Dengan kelebihan meminati seni ini kita dapat lihat terzahir dari propaganda awal hatta sehingga kini dari al-Qassam yang sangat hebat dan menggerunkan musuh. Beliau pada awalnya tidak bergerak seorang diri. Beliau mempunyai berapa orang rakannya yang setia.
Mereka ialah Salah Syahadah, Zakaria al-Syurbaji & Yahya Ayyash. Bersama merekalah Deif telah mengasaskan Briged al-Qassam. Yang tragiknya, kesemua sahabat beliau ini telah mulia dengan kesyahidan.
— Zakaria al-Syurbaji: 1993.
— Yahya Ayyash: 1996.
![](https://miro.medium.com/v2/resize:fit:401/0*A-CrI3dwguYKjS8k.jpg)
— Salah Syahadah: 2002.
Maka, tinggal lagi Deif seorang. Lagenda beliau masih berterusan sehingga kini. Pada tahun 1994, Deif telah mengejutkan dunia apabila berjaya menawan seorang tentera IDF, Nachshon Wachsman. Dengan berjayanya operasi ini, pemimpin utama Hamas, Ahmad Yasin, dapat dibebaskan.
Sejak 1994–2000, Israel menyaksikan kebangkitan pelbagai serangan oleh al-Qassam yang diketuai oleh Deif. Sejak itu, nama beliau telah menjadi wanted no 1. Namun, takdir menentukan sahabat baik beliau telah syahid terlebih dahulu, iaitu Yahya Ayyash.
Selepas itu, penjajah telah menyaksikan kegiatan ketenteraan yang lebih banyak. Banyak serangan yang dilakukan sehingga memaksa Israel merayu kepada Yasir Arafat untuk memujuk Deif untuk ‘slow down’ operasi Deif. Pujukan Arafat tidak berjaya.
Seterusnya, Israel meminta Mohd Dahlan, pemimpin Fatah yang juga rakan belajar Deif di Gaza dulu. Deif membalas pujukan ini dengan membunuh 50 orang tentera IDF. Ini memaksa Fatah untuk menangkap Deif. Namun, dikatakan penangkapan ini hanyalah tangkapan yang olok-olok.
Kerana Deif dibenarkan untuk keluar dan masuk penjara dengan bebas. Sehingga 2001 beliau bebas. Setelah itu Intifada kedua tercetus pada 2002, hasil idea beliau. Kesannya, sahabat beliau Salah Syahadah pula dibunuh syahid. — Sekali lagi, ugutan ini tidak lemahkan beliau.
Tahun 2021, Perang Saif al-Quds, al-Qassam telah mengeluarkan satu poster yang tertera: ‘Sesungguhnya Mohammed Deif telah berjanji kepada kamu dan dia tidak akan sesekali memungkiri janjinya!’. Poster ini hanya memaparkan bayang tubuh badan Deif yang misteri itu sahaja.
Setelah kesyahidan Salah Syahadah 2002, operasi Deif makin bertambah dahsyat. Pelbagai penambahbaikan teknikal diperbaharui. Idea untuk membuat terowong adalah atas idea Deif sendiri. Sehingga kini terowong di Gaza tidak dapat dikesan.
Setelah kesyahidan Salah Syahadah juga menjadikan Deif sebagai pegawai pemerintah tertinggi bagi al-Qassam. Ini juga bermaksud senarai utama untuk dibunuh beralih kepada Deif. Anda tahu berapa kali cubaan telah dibuat? 7 kali! Dengan izin Allah cubaan itu tidak berjaya.
Israel telah cuba membunuh Deif pada tahun: 2001, 2002, 2003, 2006, 2014. Kemuncaknya, ialah pada 2014, apabila Israel telah bom rumahnya, mengakibatkan syahidnya isteri & anak beliau. Diceritakan beliau terselamat, namun dia tercedera. Namun, ini tidak melemahkan beliau.
Sejak itu media massa Israel menggelar beliau dengan pelbagai gelaran: antaranya, manusia yang punyai 7 nyawa, manusia mustahil, manusia 9 nyawa.
Kini, Taufan al-Aqsa telah berjaya membuka mata dunia tentang akhlak Deif & bala tenteranya.
Meskipun, ahli keluarga beliau sendiri syahid, bahkan sahabat handai beliau telah pergi. Akhlak bersama tawanan & prinsip Islam dalam berperang tetap dipegang dengan begitu teguh. Tawanan dilayan dengan mulia, anak kecil & orang tua dilarang untuk dibunuh.
Itulah Deif, Arkitek Utama Taufan al-Aqsa. Segala kehebatan al-Qassam yang kalian lihat sekarang juga adalah dari hasil perahan idea Deif, Kerana Israel menggelar beliau sebagai Pemilik Arahan Roket al-Qassam.
Tetapi, begitulah mahar sebuah perjuangan yang dibayar, iaitu kesyahidan, bahkan itulah yang diimpikan oleh Deif. Selama 30 tahun lebih beliau berjuang. Akhirnya, pada 30 Januri 2025 Abu Ubaidah isytiharkan Panglima Agung Briged Izzudin al-Qassam, bahkan beliau ialah Panglima Agung umat ini, telah syahid bersama pimpinan tertinggi al-Qassam.
Teringat pula dengan babak Ulama’ terkemuka pada Zaman Nuruddin Zenki (Mentor Salahuddin), iaitu Qutbuddin al-Naisaburi.
Beliau berkata kepada Zenki: “Nuruddin, janganlah engkau terlalu berani sehingga syahid! Kalau engkau tiada, siapa yang akan menjaga kebajikan Umat Islam?’.
Nuruddin membalas: ‘Apa yang kau katakan ini wahai Qutbuddin? Tidakkah engkau sedar sebelum ini sudah ramai tokoh-tokoh yang sudah pergi lebih awal dari aku. Sudah tentulah Allah yang menjaga keadaan Umat Islam ini!’.
Perjuangan harus diteruskan sehingga al-Aqsa dan Palestin bebas sepenuhnya. Semoga Allah SWT memelihara Mujahidin di setiap tempat.
Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin
Sumber asal: https://anaslatif93.medium.com/lelaki-misteri-yang-diburu-israel-selama-30-tahun-25ba08b5b086