Liga Arab menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman ke wilayah Palestin bergolak bagi tangani krisis kemanusiaan yang semakin kritikal.
Mereka juga mengesyorkan anjuran satu persidangan damai antarabangsa bagi membincangkan isu Israel-Palestin, pada sidang kemuncak yang didominasi isu berkaitan perang antara regim Zionis dan Hamas.
Dalam kenyataan terakhir selepas mesyuarat di Manama, kumpulan 22 anggota itu menggesa ‘perlindungan antarabangsa dan pasukan pengaman PBB di wilayah Palestin yang diduduki’ sehingga penyelesaian dua negara dilaksanakan.
Ia juga menerima gesaan tuan rumah, Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan presiden Palestin, Mahmud Abbas, untuk ‘mengadakan persidangan antarabangsa di bawah naungan PBB’ untuk tangani isu Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.
Pertemuan ketua-ketua negara dan kerajaan Arab itu bersidang di Bahrain lebih tujuh bulan selepas konflik di Gaza menggegarkan Asia Barat dan mendapat perhatian global.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas, memberitahu sidang kemuncak itu bahawa pesaing politiknya, Hamas, menerusi serangan 7 Oktober di selatan Israel, memberi alasan kepada Israel untuk melancarkan perang ke atas Gaza.
“Operasi ketenteraan yang dilakukan oleh Hamas dengan keputusan sebelah pihak pada 7 Oktober itu memberikan Israel lebih banyak alasan dan justifikasi untuk menyerang Semenanjung Gaza,” katanya.
Sementara itu, Hamas berkata ia kesal dengan kenyataan Abbas yang menuduhnya memberi Israel ‘alasan’ kepada Israel untuk melancarkan perang ke atas Gaza.
“Kami menyatakan kekesalan kami berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden Palestin… pada sidang kemuncak Arab yang diadakan di Manama,” kata kumpulan itu.
Menerusi dokuman dipanggil ‘Deklarasi Manama’ yang dikeluarkan oleh negara-negara Arab itu, mereka juga menggesa ‘semua puak Palestin untuk bergabung di bawah payung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)’, yang dikuasai pimpinan Abbas.
Tambah dokumen itu, ia menganggap PLO sebagai ‘satu-satunya wakil rakyat Palestin yang sah’.
Ia adalah kali pertama blok itu bersatu sejak sidang kemuncak luar biasa di Riyadh, Arab Saudi, pada November yang turut melibatkan pemimpin daripada 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di bandar Jeddah, Arab Saudi. – Berita Harian