Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail menegaskan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak wajar dijemput menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober ini, berikutan peranannya sebagai penyokong utama tindakan genosid Israel di Gaza.
Beliau berkata jemputan yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Trump menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian Malaysia terhadap isu Palestin, memandangkan AS merupakan pembekal utama senjata kepada Israel yang digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
“Sejak Jerman mengumumkan bahawa ia tidak lagi membekalkan senjata yang boleh digunakan Israel di Gaza, AS kini menjadi satu-satunya negara yang terus menyalurkan senjata kepada rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Mohd Nazari turut melahirkan rasa kesal kerana tiada penjelasan sama ada isu Palestin dibangkitkan oleh Perdana Menteri dalam perbualan telefon bersama Trump, sebelum jemputan rasmi dibuat.
“Jika peluang itu tidak digunakan untuk menekan Trump agar menghentikan penghantaran senjata kepada Israel, ia amat mendukacitakan. Rakyat Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan seorang pemimpin (Trump) yang terus menjadi penyokong utama kepada pembunuhan ribuan wanita dan kanak-kanak Palestin yang tidak berdosa,” katanya.
Beliau berkata sokongan padu AS kepada Israel memberi ruang kepada rejim Zionis bertindak tanpa hukuman, termasuk mengebom penduduk awam, menembak kanak-kanak, memusnahkan bangunan, serta menyekat kemasukan makanan sehingga mengakibatkan kematian akibat kebuluran.
“Trump secara terbuka menyatakan bahawa dia menyerahkan sepenuhnya kepada Israel untuk melaksanakan rancangan menguasai Gaza dan memaksa penduduk Palestin meninggalkan tanah air mereka. Ini jelas merupakan usaha penghapusan etnik, yang merupakan jenayah di bawah undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas dengan membatalkan jemputan tersebut demi memastikan sokongan negara terhadap perjuangan Palestin tidak dilihat sebagai retorik semata-mata.
“Malaysia mesti bangkit melebihi retorik dan konsisten dalam pendirian menyokong Palestin, agar tidak dituduh hipokrit seperti yang sering dilabelkan terhadap kerajaan Barat. Masih belum terlambat untuk menghantar mesej jelas kepada Trump bahawa dia tidak dialu-alukan ke Malaysia selagi genosid di Gaza diteruskan dengan sokongan AS,” katanya. – Dunia Palestin