Ogos tahun lalu, Sekolah Menengah Queen Kosomok di Kemboja ‘digegarkan’ penemuan 2,000 bahan letupan tinggalan Perang Vietnam ketika warganya berusaha meluaskan kebun. Kemboja seperti negara Indochina ‘mewarisi’ 4 juta periuk api yang walaupun usaha pembersihan dilakukan, hanya 25,000 dapat dimusnahkan dan lebih 64,000 mangsa terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Laos dianggap negara paling banyak dibom mengikut nisbah perkapita apabila Amerika Syarikat (AS) menggugurkan lebih dua juta tan bahan letupan dengan 30 peratus dianggar tidak meletup.
Kerakusan manusia melakukan apa sahaja seperti di Kemboja, Laos dan banyak lagi negara dari Asia Timur hingga Afrika serta Amerika Selatan rupa-rupanya belum sampai hadnya. Ini kerana Israel pada minggu lalu menunjukkan ia sanggup meningkatkan skala keganasan dengan menggunakan alat kelui dan peranti komunikasi sebagai jerangkap samar.
Serangan menyasarkan Hizbullah di Lubnan itu membunuh sekurang-kurangnya 37 orang awam dan mencederakan hampir 3,000 lagi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya jenayah perang, sekali gus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang penggunaan senjata bertujuan menyebarkan ketakutan dalam kalangan orang awam.
Serangan itu berlaku di tempat awam seperti pasar raya dan jalan, iaitu ketika orang ramai menjalani kehidupan harian, bahkan semasa majlis pengebumian. Israel didakwa mendalangi serangan itu, sekali lagi menunjukkan keangkuhan dan ketidakpedulian terhadap undang-undang antarabangsa dan kecaman global. Walaupun Hizbullah dianggap sebagai sasaran utama, hakikatnya mangsa terkorban dan cedera adalah orang awam.
Dunia terutama Malaysia lantang memperjuangkan hak asasi manusia perlu mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang hampir setahun melakukan genosid terhadap penduduk Gaza, sekali gus meneruskan siri penindasan terhadap rakyat Palestin.
Malah selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pendudukan rejim Zionis sejak 1967 melanggar undang-undang, PBB meluluskan resolusi menuntut secara rasmi Israel menamatkan pendudukan di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan dan sekatan dikenakan jika berlaku ketidakpatuhan.
Bagaimanapun, kecaman sahaja tidak mencukupi kerana sejarah membuktikan Israel tidak pernah tunduk tekanan diplomatik. Apa diperlukan sekarang ialah tindakan kolektif, termasuk sekatan ekonomi, politik dan diplomatik bagi memaksa rejim Zionis itu menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Negara Arab dan Islam terutamanya perlu menggerakkan tindakan bersama lebih agresif memaksa Israel bertanggungjawab atas jenayahnya termasuk memutuskan hubungan diplomatik, menyekat perdagangan dan mendesak melalui forum antarabangsa agar Israel dihukum.
Hakikatnya, serangan terkutuk Israel di Lubnan itu bukan satu kemuncak keganasannya, malah akan ada lagi taktik ketenteraan lebih terancang dan berbahaya, bahkan tidak membezakan antara tentera dan pejuang dengan orang awam terutama kanak-kanak, wanita dan golongan rentan.
Jika dibiarkan, ia akan menjadi norma baharu dalam peperangan moden, iaitu senjata kelihatan tidak berbahaya menjadi alat pemusnah nyawa. Ini bukan hanya soal konflik antara Israel dengan Hizbullah, sebaliknya soal maruah manusia dan tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk melindungi orang awam daripada kekejaman tidak bermoral. – Berita Harian