BDS Malaysia, gabungan NGO anjur perarakan Protes Nakbah 16 Mei ini

Rakyat Malaysia diseru untuk menyertai perarakan protes terhadap penjajahan dan genosid di Palestin sempena Hari Nakbah ke-77 yang akan berlangsung pada 16 Mei ini di Suruhanjaya Tinggi British dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Perarakan anjuran BDS Malaysia dengan kerjasama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dijadual bermula jam 2.15 petang dengan para peserta berkumpul di Menara Tabung Haji sebelum bergerak ke destinasi seterusnya.

Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berkata objektif utama penganjuran Protes Hari Nakbah kali ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kezaliman berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

“Kezaliman ini bukan lagi sejarah lampau, malah sedang berlaku secara terang-terangan terutama di Gaza yang kini menyaksikan genosid yang ngeri. Justeru, seluruh lapisan masyarakat termasuk kerajaan, entiti perniagaan dan individu perlu memainkan peranan bagi menghentikan kekejaman ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Dunia Palestin.

Tambah beliau, salah satu langkah minimum tetapi signifikan adalah meneruskan kempen pemboikotan terhadap syarikat-syarikat yang terlibat menyokong rejim Zionis.

Antara syarikat antarabangsa yang dikenal pasti oleh gerakan BDS sebagai terlibat secara langsung dengan rejim Israel termasuk Boeing, Caterpillar, HP, Dell, Caltex dan Microsoft.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai kempen boikot dan senarai penuh syarikat terlibat boleh merujuk laman web serta media sosial rasmi BDS Malaysia.

Hari Nakbah yang disambut setiap tahun pada 15 Mei memperingati pengusiran lebih 750,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka pada tahun 1948 ekoran penubuhan entiti haram Israel. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

World Central Kitchen terpaksa hentikan operasi di Gaza

Next Post

Israel telah menggugurkan 100,000 tan bahan letupan ke atas Gaza

Related Posts