Sebuah kapal awam yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah diserang oleh dron awal pagi Jumaat ketika belayar di perairan antarabangsa berhampiran pulau Malta, menurut kenyataan Freedom Flotilla Coalition.
“Pada jam 00:23 waktu Malta, sebuah kapal Freedom Flotilla telah menjadi sasaran serangan dron. Bahagian hadapan kapal diserang dua kali, menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada badan kapal,” kata kenyataan itu.
Gabungan itu menambah bahawa “kapal tersebut kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Malta” dan telah menghantar isyarat kecemasan SOS.
Namun begitu, kerajaan Malta masih belum memberi sebarang respons terhadap isyarat SOS dari kapal bantuan kemanusiaan awam itu.
Gabungan tersebut menggesa Malta untuk menunaikan “kewajipan bertindak dan memastikan keselamatan kapal awam yang dalam kecemasan berhampiran wilayahnya” sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang maritim antarabangsa.
Flotilla berkenaan dilaporkan dalam perjalanan ke Gaza untuk membawa bantuan kemanusiaan sebagai usaha mencabar sekatan Israel. Sumber serangan dron itu masih belum disahkan. – Anadolu