Singapura bersedia secara prinsip untuk mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau berkata pertimbangan utama Singapura ialah langkah sedemikian harus membantu kemajuan ke arah keamanan dan merundingkan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
“Khususnya, perlu ada kerajaan Palestin yang berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak keganasan secara tegas.
“Kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil langkah ke arah keamanan yang berkekalan dan menamatkan penderitaan yang telah berlangsung terlalu lama,” kata menteri itu kepada Parlimen, Selasa.
Pada 10 Mei, Singapura mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan sokongan terhadap keanggotaan Palestin di PBB.
Balakrishnan berkata Singapura membuat undian itu selepas pertimbangan teliti dengan harapan Palestin dan Israel menyambung semula rundingan terus ke arah penyelesaian dua negara ketika prospek semakin suram.
Sementara itu, Balakrishnan berkata tahap sokongan Singapura kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak tertakluk sama ada terdapat pengiktirafan rasmi terhadap negara itu.
“Singapura akan terus berhubung dengan PA, terus melaksanakan pakej bantuan teknikal bernilai S$10 juta untuk membantu PA membina kapasiti dan bersedia sedia bagi kenegaraan,” katanya.
Setakat ini, Singapura telah melatih lebih daripada 750 pegawai Palestin dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, pengurusan ekonomi dan perancangan bandar.
Beliau berkata republik itu juga menyediakan biasiswa untuk pegawai Palestin melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti Singapura. Setakat ini, terdapat tiga penerima biasiswa berkenaan pada tahun ini. – Bernama