Malaysia dan Palestin akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam beberapa sektor, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.
Bercakap pada majlis makan malam rangkaian perniagaan Palestin-Malaysia pada Rabu, Hanafi berkata, MoU itu meliputi 14 bidang termasuk kemudahan perdagangan, pelaburan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri halal.
“Ia akan membantu mewujudkan mekanisme untuk memudahkan aliran perdagangan yang lebih lancar dan menggalakkan usaha sama, menyediakan rangka kerja uyang jelas untuk mengukuhkan hubungan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, jumlah perdagangan Malaysia dengan Palestin pada 2023 meningkat sebanyak 52.1 peratus kepada RM20.85 juta berbanding RM13.7 juta pada 2022.
“Eksport ke Palestin melonjak sebanyak 96.2 peratus kepada RM13.47 juta daripada RM6.87 juta pada 2022 manakala import dari Palestin naik 7.9 peratus kepada RM7.38 juta daripada RM6.84 juta pada 2022.
“MoU ini akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan, mewujudkan peluang untuk syarikat besar dan PKS, yang merupakan tulang belakang bagi kedua-dua ekonomi,” katanya.
Menurutnya, dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, selain sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan, pasaran baharu boleh dibuka, merangsang perdagangan dan pelaburan serta memacu inovasi merentas pelbagai industri.
“Malaysia komited menyokong usaha Palestin dan berharap untuk melihat syarikat Palestin berjaya di rantau ini,” katanya.
Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Ketua Pegawai eksekutif Palestine Trade Centre (PalTrade), Ruwa Jabr menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kedutaan Palestin dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). – Bernama