Seorang tebusan Israel yang dibebaskan dari Gaza baru-baru ini menuduh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengkhianati negara apabila bertindak ‘meninggalkan’ tawanan – sekali gus menggesa Presiden Isaac Herzog memaklumkan perkara ini secara terbuka, lapor Anadolu Agency.
Kenyataan tebusan, Liat Atzili dibuat ketika ucapan yang mengejutkan dan tidak dirancang pada majlis rasmi menandakan ulang tahun kelapan kematian bekas Presiden Shimon Peres di Gunung Herzl di Baitulmaqdis.
Atzili yang merupakan penduduk Nir Oz, telah ditahan di Gaza selama 54 hari.
Suaminya terbunuh pada 7 Oktober 2023 semasa serangan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang awalnya didakwa meragut kira-kira 1,200 nyawa dan kira-kira 250 yang lain telah diambil sebagai tebusan.
Bagaimanapun, selepas itu, Haaretz mendedahkan bahawa helikopter dan kereta kebal tentera Israel yang sebenarnya membunuh 1,139 tentera dan orang awam yang didakwa oleh Israel telah dibunuh oleh kumpulan pejuang Palestin.
Sejak itu, Israel membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin di Gaza dan mencipta malapetaka kemanusiaan. Rundingan untuk gencatan senjata dan pemulangan tebusan yang tinggal diteruskan melalui pengantara Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar, tetapi tidak berjaya.
Atzili berkata, “Serangan Hamas pada Oktober berlaku semasa Netanyahu sibuk untuk terus berkuasa dan meneruskan rampasan kuasa autoritarian bagi mengekalkan jawatannya,” merujuk kepada rombakan kehakiman kontroversi yang dilakukan kerajaannya tahun lepas.
“Kontrak asas antara rakyat dan negara telah dilanggar pada 7 Oktober, dan negara Israel gagal melindungi kami. Atas nama paksi pembohongan dan penipuan, Netanyahu menggagalkan perjanjian untuk membebaskan tebusan.
“Netanyahu, yang gagal menentang Hamas dan Hizbullah, menentang mereka yang menyokong perjanjian untuk membawa balik tebusan dan melabel kami sebagai musuh untuk mengekalkan kelangsungan politiknya,” katanya.
Bercakap kepada Presiden Herzog secara langsung, Atzili berkata: “Pergilah kepada orang ramai dan isytiharkan bahawa Perdana Menteri (Netanyahu) telah mengkhianati jawatannya … kebisuan anda akan menghantui anda.” – Ismaweb