Air mata dan suasana pilu mengiringi upacara pengebumian pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh di Tanah Perkuburan al-Imam al-Muassis Bandar Lusail, Doha, Qatar hari ini.
Situasi sedih itu disaksikan ribuan orang ramai termasuk beberapa pemimpin negara Islam.
Ketua Delegasi Malaysia yang mewakili kerajaan ke upacara itu, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata beliau bersama delegasi negara dibawa wakil Kedutaan Malaysia di Doha mengiringi jenazah Haniyeh ke tempat istirehat terakhirnya di tanah perkuburan berkenaan.
Katanya, mewakili Kerajaan Malaysia, beliau berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi Hamas itu.
“Dengan kehadiran ribuan orang ramai sewaktu solat jenazah dan ketika pengebumian Almarhum, jelas menunjukkan nilai penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai pemimpin teragung Palestin.
“Sudah pasti, perjuangannya akan diteruskan dalam usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis untuk menjadi sebuah negara merdeka,” katanya kepada BH.
Shamsul Anuar berkata, kehadiran beliau ke upacara itu turut diringi Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pegawai dari Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) serta Kedutaan Malaysia di Doha.
Terdahulu, beliau memaklumkan rombongannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada jam 6 pagi tadi waktu tempatan.
Ketibaan mereka disambut oleh pegawai Kedutaan Malaysia di Doha.
“Terima kasih atas bantuan semua pegawai kedutaan yang bertungkus-lumus melaksanakan perjalanan ini,” katanya.
Pengawal Revolusi Iran sebelum ini memaklumkan Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan sebelum subuh ke atas penginapan mereka di Tehran, Rabu lalu.
Almarhum mengunjungi Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden barunya, Masoud Pezeshkian, Selasa lalu.
Pembunuhan pemimpin Hamas itu berlaku hanya beberapa jam selepas Israel menyerang selatan Beirut, membunuh komander tentera Hizbullah, Fuad Shukr.
Hari ini, Qatar mengadakan upacara pengebumian untuk pemimpin Hamas itu yang menetap di Doha bersama-sama dengan anggota Hamas lain.
Jasadnya akan dikebumikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu negara Qatar, selepas solat jenazah di masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab.
Hamas turut memaklumkan, pemimpin Arab dan Islam serta wakil kumpulan pejuang Palestin lain serta orang ramai akan menghadiri acara itu. – Berita Harian