Apabila minda muqawamah mengatasi keangkuhan teknologi musuh

Dalam era peperangan moden, keunggulan sering diukur melalui tahap penguasaan teknologi dan keupayaan risikan untuk melakukan penembusan. Namun begitu, kemunculan “Unit Bayangan”, salah satu unit paling rahsia dalam Briged al-Qassam, telah membalikkan perkiraan tersebut.

Taktik dan inovasi unit ini telah melangkaui batas analisis ketenteraan tradisional dan membawa kita ke dalam era baharu “perang minda”, di mana kecerdikan taktikal menjadi penentu sebenar. Unit elit ini, yang beroperasi di tengah-tengah kehancuran dan kepungan, bukan sahaja membuktikan keunggulannya, tetapi turut menzahirkan kegagalan besar dalam kesiapsiagaan sistem risikan Israel dan sekutunya di peringkat global, melalui satu operasi yang menggugat sepenuhnya konsep keselamatan dan risikan musuh.

Lintasan Berani dan Penyamaran Risikan

Di tengah-tengah Gaza yang dikepung, dirangka sebuah rancangan pemindahan yang paling berani dan luar biasa. Ia bukan sekadar operasi memindahkan tahanan perang, tetapi satu operasi risikan yang menyerupai persembahan teater, para pelakonnya tersembunyi di sebalik tirai yang dirancang dengan rapi.

Unit Bayangan al-Qassam telah memutuskan untuk memindahkan tawanan perang penjajah Israel dari utara ke selatan Gaza, bukan pada waktu malam, tetapi di siang hari, di bawah sinaran matahari, dalam jangkauan media Israel, pesawat pengintip, dan kecanggihan teknologi moden.

Keterangan Tawanan Israel

Butiran daripada keterangan seorang tentera Israel yang dibebaskan telah menjelaskan hakikat sebenar operasi yang berlangsung pada 25 Mac 2025. Apa yang kelihatan seperti adegan spontan rupa-rupanya adalah “perangkap risikan” yang dipasang dengan ketelitian dan kemahiran yang luar biasa.

Demonstrasi Sebagai Tirai Asap Sempurna

Anggota Unit Bayangan telah membawa tawanan ke tengah-tengah sebuah demonstrasi “rekaan” yang kelihatan menentang “perang genosid” dan menentang Hamas sendiri.

Pihak risikan Israel menerima laporan tentang demonstrasi itu dengan rasa lega yang berlebihan, malah mempromosikannya sebagai bukti perpecahan dalaman di Gaza. Tanpa disedari, ia telah menjadi tirai asap sempurna yang melindungi sepenuhnya operasi pemindahan tersebut.

Tawanan Sebagai Pemimpin Demonstrasi

Puncak inovasi unit ini terserlah apabila para tawanan dijadikan ketua perarakan. Anggota al-Qassam meminta beberapa tawanan mengetuai perjalanan dan melaungkan slogan-slogan anti-Hamas dalam bahasa Arab, malah mereka diangkat di atas bahu para peserta. Dengan cara ini, tawanan itu sendiri menjadi titik buta bagi risikan Israel, siapa sangka bahawa Briged al-Qassam menyembunyikan “aset strategik” mereka di barisan hadapan yang kelihatan seolah-olah menentang mereka?

Laluan Pemindahan yang Mengejutkan

Perarakan itu menempuh laluan berisiko tinggi, bermula dari Beit Lahia di utara, melalui Beit Hanoun dan Bandar Gaza, hingga ke Khan Yunis di selatan. Seluruh perjalanan berlangsung di bawah pantauan risikan musuh dan pesawat dron, yang tanpa disedari bertukar daripada alat pemantauan menjadi perlindungan udara tidak sengaja bagi operasi ini.

Unit Bayangan berjaya tiba di Khan Yunis dengan selamat sepenuhnya, satu kejayaan risikan yang luar biasa, memanfaatkan keadaan kewaspadaan Israel untuk memerangkapnya sendiri, menjadikan demonstrasi kononnya anti-Hamas itu sebagai perlindungan sempurna bagi operasi pemindahan tawanan.

Kehebatan Unit Bayangan

Apa yang dilaksanakan oleh Unit Bayangan mencerminkan keunggulan operasi yang jarang berlaku, memperlihatkan satu paksi strategi yang jelas serta membuktikan bahawa ia berfungsi sebagai sebuah agensi risikan balas yang tidak bergantung kepada kebetulan:

  • Memintas kecanggihan teknologi: Dalam persekitaran yang dikepung dan dipantau rapi, unit ini menggunakan kesibukan manusia untuk mengaburi pengesanan teknikal dan gelombang komunikasi. Dengan menggabungkan tawanan ke dalam suasana yang tidak dijangka, mereka berjaya mengelirukan algoritma kecerdasan buatan yang mencari corak pergerakan tetap, menjadikan ruang awam sebagai bilik operasi tersembunyi.
  • Pengurusan operasi pemindahan tawanan: Keupayaan untuk mengekalkan “kad kemenangan” ini selamat selama berbulan-bulan, kemudian memindahkannya dengan ketepatan luar biasa, membuktikan kecekapan logistik dan ideologi yang setanding dengan unit elit antarabangsa. Merancang demonstrasi besar, menggabungkan tawanan di dalamnya, serta menyampaikan mesej yang menyesatkan musuh menuntut perancangan strategik yang cermat dan kawalan operasi berdisiplin tinggi.
  • Kegagalan risikan sebagai masalah struktur: Kegagalan agensi seperti Mossad dan Shin Bet, yang disokong teknologi tercanggih Barat, untuk mengesan operasi ini, menunjukkan keruntuhan konsep “penembusan mendalam”. Briged al-Qassam telah membina kebal maklumat yang hampir mustahil ditembusi, sementara tumpuan musuh pada penyelesaian ketenteraan semata-mata menyebabkan mereka kehilangan kemampuan berfikir secara strategik dan tenang.

Kecerdikan Terselindung Dalam Pengurusan Pertempuran

Akhirnya, keupayaan untuk menukar demonstrasi anti-Hamas menjadi perlindungan operasi menunjukkan kecerdikan strategik luar biasa dalam kepimpinan pergerakan ini. Kepimpinan tersebut bukan sekadar merancang untuk bertahan, tetapi untuk menang, mendahului, dan berinovasi.

Keupayaan mereka memanfaatkan kelemahan psikologi musuh dan menggunakannya demi mencapai matlamat strategik membuktikan bahawa kekuatan sebenar dalam konflik ini tidak hanya bergantung pada saiz senjata atau kemajuan teknologi, tetapi pada keupayaan minda yang mampu menukar kelemahan menjadi peluang operasi dan kemenangan di medan, sesuatu yang diakui sendiri oleh pihak musuh.

Penulis: Zaher Saleh

Diterjemah oleh Dunia Palestin dari laman web Sotour.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Marwan Barghouti patah tulang rusuk selepas diserang di penjara Israel

Next Post

Nader Sadaqa: Yahudi Palestin yang memilih jalan muqawamah

Related Posts