Tiga pilihan raya di luar negara dan satu pilihan raya domestik dalam tempoh 10 hari telah menjejaskan kedudukan diplomatik Israel, meningkatkan penelitian di Washington serta menyukarkan parti-parti politik Israel membentuk gabungan kerajaan, menurut TRT World memetik laporan The Jerusalem Post.
Kemunduran itu bermula pada 25 Oktober di Serbia apabila pakatan pimpinan Aleksandar Vucic, sekutu kuat Israel, tewas dalam pilihan raya parlimen mengejut kepada senarai calon antirasuah yang disokong gerakan pelajar.
Serbia sebelum ini membekalkan peluru penting kepada Israel dan memeterai perjanjian perolehan bernilai AS$1.6 bilion pada Ogos 2025 bagi mendapatkan dron, peluru berpandu jarak jauh dan sistem peperangan elektronik buatan Israel.
Bagaimanapun, senarai calon gerakan pelajar yang memenangi pilihan raya itu berikrar menghentikan eksport senjata ke zon konflik.
“Kami tidak akan bersubahat dalam usaha sistematik untuk memusnahkan rakyat Palestin yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan mereka.
Di Brazil, kemenangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dalam pilihan raya semula menewaskan pencabarnya, Flavio Bolsonaro, sekali gus memusnahkan harapan Israel untuk mengeratkan hubungan dua hala.
Di bawah kepimpinan Lula, Brazil telah menarik balik dutanya dari Israel dan secara rasmi menyokong kes pembunuhan beramai-ramai yang difailkan Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kebuntuan politik domestik dan penelitian Washington
Di Israel, pilihan raya pada 27 Oktober menyaksikan kedua-dua blok utama gagal memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan. Blok Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memperoleh 53 daripada 120 kerusi Knesset, kurang lapan kerusi daripada majoriti mudah.
Presiden Isaac Herzog memulakan rundingan dengan parti-parti politik di Parlimen pada Rabu bagi menentukan calon yang akan diberi mandat membentuk kerajaan baharu.
Sementara itu, di Amerika Syarikat (AS), Parti Demokrat berjaya menguasai kedua-dua dewan Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.
Analisis itu turut menyorot tokoh seperti Senator terpilih Michigan, Abdul El-Sayed, dengan mempersoalkan sejauh mana pendirian kritikal terhadap Israel akan mempengaruhi perbahasan mengenai pemindahan senjata kepada negara itu.
Dengan Kongres baharu dijadual bersidang pada 3 Januari, akhbar itu memberi amaran bahawa Washington mungkin membahaskan masa depan hubungan dua hala ketika parti-parti politik Israel masih bergelut membentuk gabungan kerajaan.
Pada Rabu, Naib Presiden AS JD Vance menerusi platform X menyatakan bahawa perubahan hubungan AS dengan Israel merupakan antara faktor penting dalam kalangan pengundi Donald Trump pada 2024 yang beralih menyokong Demokrat.
“Alasan kami kalah ialah perang (Iran),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump memberitahu Fox News bahawa Washington akan menamatkan bantuan kewangan kepada Israel menjelang akhir tahun ini, dengan bantuan tahunan dikurangkan kepada kira-kira AS$4 bilion berdasarkan perjanjian yang dicapai sebelum ini bersama Netanyahu. – Dunia Palestin