Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) membidas ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan menyifatkannya sebagai penuh pembohongan dan slogan kosong.
Dalam kenyataannya, Hamas berkata pembohongan yang disampaikan Netanyahu tidak lagi mampu memperdayakan masyarakat antarabangsa yang telah menyaksikan sendiri kesan perang genosid Israel di Gaza, termasuk pembunuhan orang awam, kebuluran serta kemusnahan keperluan asas kehidupan.
Hamas turut menolak dakwaan Netanyahu bahawa tentera Israel merupakan “tentera paling bermoral”, dengan menyatakan dakwaan itu bercanggah dengan laporan dan dokumentasi PBB mengenai keadaan di Gaza.
Menurut Hamas, laporan PBB serta apa yang disaksikan masyarakat antarabangsa mengenai pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan kemusnahan di Gaza menafikan dakwaan Netanyahu berhubung operasi ketenteraan Israel di wilayah itu.
Hamas juga berkata dakwaan mengenai genosid di Gaza tidak boleh dinafikan berdasarkan laporan PBB, selain pengakuan anggota tentera dan pegawai Israel serta kenyataan beberapa menteri dan pemimpin Israel yang didakwa menyeru pembunuhan dan pemindahan rakyat Palestin.
Mengulas tindakan sebahagian besar delegasi negara meninggalkan dewan ketika Netanyahu menyampaikan ucapan, Hamas menyifatkannya sebagai gambaran mengenai apa yang didakwanya sebagai pengasingan antarabangsa terhadap Netanyahu dan Israel.
Hamas berkata tindakan itu turut mencerminkan peningkatan kesedaran global mengenai hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, mendapatkan semula tanah dan tempat suci mereka serta menubuhkan negara Palestin yang merdeka.
Dalam pada itu, Hamas memberi amaran terhadap perkembangan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk penafian terhadap kewujudan rakyat Palestin dan pemberian legitimasi kepada jenayah pendatang penjajah terhadap rakyat Palestin.
Hamas menggesa usaha dilakukan bagi menentang apa yang didakwanya sebagai rancangan dan jenayah Israel di wilayah berkenaan.
Kenyataan itu turut menyentuh waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu, dengan Hamas berkata beliau sepatutnya dibawa ke muka pengadilan atas tindakan yang didakwa dilakukan dalam genosid di Gaza. – Dunia Palestin