Bersempena Hari Tahanan Palestin, saya ingin kongsikan satu kisah yang ditulis oleh Mujamma Haraket tentang sebuah institusi perjuangan yang jarang diketahui, tetapi sangat besar maknanya iaitu “Universiti Yusuf”.
Institusi ini diasaskan oleh Ibrahim al-Maqadmeh, seorang tokoh awal dalam Gerakan Perjuangan Islam Hamas.
Beliau bersama Yahya Sinwar turut terlibat dalam penubuhan al-Majd pada tahun 1983.
Universiti Yusuf mula diasaskan selepas beliau dipenjarakan bersama Sheikh Ahmad Yassin pada tahun 1984.
Ia bermula di dalam Penjara Negev, namun berkembang menjadi sebuah institusi ilmu yang tersusun, seolah-olah sebuah universiti sebenar yang mengeluarkan sijil.
Tenaga pengajarnya bukan orang luar, tetapi para akademik dan tokoh perjuangan yang turut dipenjarakan oleh penjajah.
Fokus utamanya adalah ilmu. Para tahanan bukan sekadar belajar tetapi menterjemah pelbagai teks daripada bahasa Ibrani, Inggeris dan Perancis ke dalam bahasa Arab.
Ada antara mereka seperti Ghazi Abu Jiyab yang menguasai keempat-empat bahasa selepas bertahun-tahun dipenjarakan.
Dalam masa yang sama, kurikulum mereka tidak terhad kepada ilmu agama sahaja, bahkan merangkumi aspek keselamatan dan pengumpulan maklumat risikan.
Dari dalam penjara, lahir penterjemah, aktivis, ulama dan pejuang yang membentuk kesinambungan perjuangan di luar.
Universiti ini diuruskan sepenuhnya oleh para tahanan sendiri dan akhirnya berkembang ke beberapa penjara lain di bawah penjajah Israel.
Apa yang kita ketahui hari ini banyak bersandar kepada testimoni para tahanan dan rekod arkib yang sempat dihimpunkan.
Petikan daripada kisah ini menunjukkan bagaimana institusi ini berfungsi dalam realiti sebenar.
Antara kisah penting ialah Maher Abu Surur, seorang pejuang al-Qassam yang ditangkap pada tahun 1984 dan dipenjarakan di Negev.
Ketika itu Universiti Yusuf baru sahaja bermula, dan beliau menjadi antara pelajar terawal.
Beliau menamatkan pengajian dalam bidang agama, dan pengalaman itu memberi kesan besar dalam hidupnya.
Selepas dibebaskan, beliau tidak berhenti setakat itu, bahkan berusaha membawa semangat Universiti Yusuf ke luar penjara dengan mengumpulkan anak-anak muda, mengajar al-Quran, menggabungkan aktiviti fizikal serta membina kesedaran dalam kalangan generasi muda.
Satu lagi kisah datang daripada Ahmad al-Sa‘ati, yang pernah dipenjarakan selama dua tahun di Negev.
Beliau menggambarkan Universiti Yusuf sebagai sebuah universiti sebenar, tempat para tahanan mempelajari fiqh, tajwid dan analisis politik dengan peranan besar dimainkan oleh Dr. Ibrahim al-Maqadmeh.
Universiti ini kemudian berkembang ke penjara lain seperti Megiddo.
Di sana, para tahanan mengubah sel yang sempit dan gelap menjadi ruang pembelajaran.
Mereka belajar dan mengajar sesama sendiri yang terdiri daripada doktor, jurutera, guru, pakar undang-undang dan ulama.
Nama Yusuf itu sendiri bukan sekadar nama tetapi simbol kepada kisah Nabi Yusuf yang dipenjarakan secara zalim, namun tetap menjadi sumber manfaat kepada manusia melalui ilmu dan hikmah
Kehidupan mereka disusun dengan disiplin ilmu. Pengajian bermula selepas Subuh dengan halaqah al-Quran dan tajwid, diikuti kelas-kelas lain seperti fiqh, nahu, sejarah dan politik.
Selepas Zuhur, pembelajaran diteruskan hingga Maghrib. Pada waktu petang pula, mereka mempelajari bahasa seperti Ibrani, Perancis, Rusia dan Jerman serta kemahiran lain seperti kepimpinan, pengurusan dan khat.
Walaupun disekat daripada berhubung dengan universiti luar, mereka tetap berusaha menyelaraskan sistem pembelajaran dengan kurikulum rasmi Palestin.
Kisah Universiti Yusuf ini membuktikan satu hakikat yang sangat jelas bahawa penjara tidak pernah mampu menghentikan perjuangan dan bukti bahawa rakyat Palestin mempunyai daya tahan yang tinggi.
Ahmad Muntaha Zainal Bahrin
Penyelidik Dunia Palestin