Garis panduan agar tidak melampau dalam menilai konflik Iran–Israel

Dalam perkembangan konflik antara Iran dan Israel mutakhir ini, kelihatan wujud beberapa dilema yang meresahkan umat Islam.

Perbincangan tentang konflik ini sering menjadi sangat emosional sehingga sebahagian pihak terjebak dalam sikap melampau (ghuluw), sama ada dengan menyokong secara membuta tuli ataupun menolak secara total tanpa mempertimbangkan prinsip keadilan.

Oleh itu, perlu ada garis panduan yang seimbang agar umat Islam dapat menilai konflik ini dengan neraca yang lurus.

Pertama: Persoalan tentang menyokong Iran

Pada asasnya, tidak menjadi kesalahan untuk menyokong tindakan yang melemahkan musuh umat Islam yang nyata, iaitu Zionis Israel laknatullah.

Sekiranya Iran berhadapan atau menyerang Israel dalam konteks ini, maka sebahagian umat Islam melihatnya sebagai pertembungan dengan musuh yang sama.

Namun sokongan seperti ini tidak bermaksud kita meredai atau bersetuju dengan akidah Syiah yang dianuti oleh negara tersebut. Ia juga tidak bererti kita menutup mata terhadap jenayah dan kezaliman yang dikaitkan dengan pengaruh mereka di beberapa tempat seperti Syria, Lubnan dan Yaman.

Sokongan dalam satu medan tidak bererti penerimaan secara keseluruhan terhadap ideologi dan rekod politik mereka.

Kedua: Persoalan tentang simpati terhadap negara-negara Teluk

Dalam konflik yang berlaku, terdapat juga korban dalam kalangan rakyat biasa di negara-negara lain, termasuk di rantau Teluk.

Dalam hal ini, umat Islam tetap dituntut untuk bersimpati terhadap rakyat yang tidak bersalah. Nyawa orang awam yang terkorban adalah nyawa yang tidak berdosa dan kita tidak boleh bergembira dengan kematian mereka.

Namun pada masa yang sama, simpati terhadap rakyat tidak bererti kita bersetuju dengan keputusan politik pemimpin negara-negara Teluk yang membenarkan kewujudan pangkalan tentera Amerika Syarikat di wilayah mereka.

Pangkalan tersebut sering dipromosikan sebagai langkah mempertahankan keselamatan Teluk daripada ancaman geopolitik Iran.

Tetapi dalam realiti konflik semasa, kelihatan bahawa kehadiran tersebut lebih banyak melindungi kepentingan strategik Amerika Syarikat serta sekutunya Israel.berbanding benar-benar menjaga keselamatan rantau itu sendiri.

Ketiga: Menolak sikap melampau dalam menilai pihak lain

Antara bentuk ghuluw yang semakin ketara ialah budaya saling menghentam antara sesama Muslim hanya kerana perbezaan penekanan dalam isu ini.

Tidak wajar seseorang dihina hanya kerana dia bersimpati dengan penderitaan rakyat Syria lalu mengkritik Iran atas jenayah ini.

Begitu juga tidak wajar menyokong atau membenarkan kegembiraan terhadap kematian rakyat Iran yang tidak bersalah.

Ada yang sampai ke tahap mendakwa bahawa pembunuhan rakyat Syria hanyalah naratif propaganda dan di dalam masa yang sama mereka mendakwa kematian rakyat Iran pula dianggap “layak” kerana kesalahan pemerintah mereka.

Kedua-dua sikap ini adalah bentuk keterlaluan yang menyeleweng daripada prinsip keadilan Islam.

Akhirnya, jalan yang seimbang ialah memegang prinsip yang jelas: menentang Zionisme dan kezaliman Israel, tidak meredai kesesatan akidah atau kezaliman mana-mana pihak, bersimpati terhadap semua orang awam yang menjadi mangsa dan menolak sikap melampau dalam menilai konflik yang kompleks ini.

Inilah garis tengah yang sepatutnya dipegang oleh umat Islam dalam menghadapi konflik Iran–Israel tanpa terjerumus kepada ghuluw.

Anas Latif
Penyelidik Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Briged al-Qassam seru umat Islam bersatu gagalkan agenda Israel Raya

Next Post

Israel terus tutup Masjid al-Aqsa ketika 10 malam terakhir Ramadan bermula

Related Posts