Israel telah mengharamkan lima platform media Palestin yang membuat liputan mengenai aktiviti Israel di Baitulmaqdis Timur, dengan dakwaan kononnya melakukan “hasutan”, lapor Anadolu.
Kementerian Pertahanan Israel pada Ahad mengeluarkan perintah untuk mengharamkan Alasima News, M3raj Network, Al-Quds Albawsala Network, Maydan Al-Quds dan Plus Quds Network. Tiada satu pun daripada platform media ini mempunyai pejabat di Baitulmaqdis Timur.
“Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz telah menandatangani perintah yang mengklasifikasikan platform-platform ini sebagai ‘organisasi pengganas’, dan Peguam Negara mengesahkan bahawa tiada halangan undang-undang,” lapor Saluran 12 Israel.
Platform-platform tersebut “dituduh melakukan hasutan kerana memberi tumpuan kepada perkembangan di Baitulmaqdis (Timur) dan Masjid al-Aqsa,” menurut laporan itu.
Susulan perintah Israel itu, Alasima News memaklumkan bahawa ia menggantung semua aktiviti medianya sehingga diberitahu kelak, manakala empat platform lain belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini. – Dunia Palestin