Sebarang inisiatif keamanan di Gaza termasuk penubuhan “Board of Peace” oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump perlu mengiktiraf sepenuhnya hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa dan Budaya ISMA, Ustaz Salman Al-Farisi bin Selamat berkata, usaha yang disebut atas nama keamanan dan pembangunan semula tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan serta pengiktirafan terhadap hak kedaulatan Palestin.
Menurut beliau, Asia Tenggara sebagai rantau yang dihuni lebih 250 juta Muslim perlu melihat perkembangan tersebut dalam kerangka geopolitik yang lebih luas, bukan sekadar sebagai isu diplomatik antarabangsa.
“Kesatuan strategik umat Islam adalah garis pertahanan utama dalam menghadapi sebarang inisiatif luar. Tanpa pendirian bersama, kedudukan tawar-menawar negara-negara Islam di pentas global akan menjadi lemah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei yang mewakili populasi Muslim terbesar dunia perlu memainkan peranan aktif dalam menyuarakan pendirian kolektif berhubung isu Palestin.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa keamanan hakiki tidak boleh dicapai tanpa menangani isu asas termasuk pemilikan tanah, sempadan, Baitulmaqdis serta hak perlindungan rakyat Palestin.
“Sebarang formula yang mengukuhkan status quo pendudukan atau menormalkan regim penjajah tanpa penyelesaian isu teras tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian yang adil dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan kuasa besar sering menjenamakan kepentingan strategik mereka dengan naratif keamanan, namun hakikatnya boleh menginstitusikan ketidakseimbangan kuasa sedia ada.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan-kerajaan umat Islam tidak memberikan sokongan simbolik tanpa penelitian strategik yang menyeluruh terhadap implikasi jangka panjang.
Beliau turut menggesa platform serantau dan antarabangsa seperti Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) dan Organisation of Islamic Cooperation (OIC) mengambil pendirian kolektif yang jelas serta berprinsip dalam menilai sebarang inisiatif berkaitan Gaza.
“Keamanan yang tidak berpaksikan keadilan dan kedaulatan hanya akan mencipta ketidakseimbangan baharu. Umat Islam di Asia Tenggara harus tampil sebagai aktor strategik yang mempertahankan kepentingan nasional dan aspirasi ummah secara bermaruah,” katanya. – Dunia Palestin