Lintasan sempadan Gaza dengan Mesir akan dibuka semula minggu depan, menurut pengumuman oleh pemimpin teknokrat Palestin yang disokong Washington untuk mentadbir wilayah itu, selepas ia hampir sepenuhnya ditutup sepanjang perang genosid Israel, lapor Al Jazeera.
Ali Shaath membuat pengumuman itu pada Khamis melalui sidang video semasa satu acara yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa lintasan Rafah akan dibuka minggu depan untuk kedua-dua arah. Bagi rakyat Palestin di Gaza, Rafah lebih daripada sekadar pintu masuk. Ia adalah talian hayat dan simbol peluang,” kata Shaath.
“Pembukaan Rafah menandakan bahawa Gaza tidak lagi tertutup kepada masa depan dan kepada perang,” tambahnya.
Tiada komen segera daripada Israel, yang telah menguasai lintasan Rafah sejak 2024. Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober di bawah pelan Trump, pihak berkuasa Israel dilaporkan melengah-lengahkan pembukaan semula lintasan itu bagi membolehkan bantuan yang amat diperlukan masuk serta membenarkan mereka yang memerlukan rawatan perubatan keluar.
Perjanjian gencatan senjata tersebut mengekalkan Israel menguasai lebih separuh wilayah Gaza di luar apa yang dikenali sebagai garisan kuning, termasuk kawasan yang bersempadan dengan lintasan tersebut.
Sekiranya dilaksanakan, pembukaan semula lintasan Rafah akan menandakan perubahan daripada dasar Israel sebelum ini yang menyatakan lintasan itu hanya akan dibuka “secara eksklusif untuk keluarnya penduduk dari Semenanjung Gaza ke Mesir”. – Dunia Palestin