Keluarga bilionair teknologi Amerika Syarikat, Larry Ellison dan anaknya David Ellison dilapor sedang membentuk empayar rangkaian pengaruh media yang luas merangkumi televisyen, studio filem dan platform digital, yang menurut penganalisis berpotensi mengukuhkan naratif Israel dalam liputan antarabangsa mengenai konflik Asia Barat.
Menurut laporan +972 Magazine, David Ellison pada pertengahan 2025 memuktamadkan pengambilalihan syarikat gergasi media Paramount Global melalui syarikatnya, Skydance dalam urus niaga bernilai AS$8 bilion, sekali gus meletakkan rangkaian televisyen CBS di bawah kawalannya.
Laporan itu menyatakan proses penyusunan semula di CBS turut menyaksikan pelantikan wartawan pro-Israel, Bari Weiss sebagai ketua editor CBS News, di samping penamatan beberapa tenaga editorial yang sebelum ini lantang mengkritik dasar Israel.
Selain itu, keluarga Ellison turut membeli platform berita digital The Free Press pada Oktober lalu dengan nilai dianggarkan sekitar AS$150 juta, langkah yang dilihat mengukuhkan lagi penguasaan mereka dalam media arus perdana dan digital.
Laporan tersebut turut mendedahkan minat keluarga Ellison terhadap platform media sosial, termasuk kemungkinan terlibat dalam usaha pengambilalihan TikTok di Amerika Syarikat, serta potensi pengaruh terhadap rangkaian berita CNN, yang jika direalisasikan bakal meluaskan capaian mereka kepada jutaan pengguna global.
Dalam sektor kandungan hiburan, Ellison dilapor membiayai projek drama bersiri “Red Alert” yang memaparkan naratif berkaitan serangan 7 Oktober 2023, dengan tujuan memperkukuh gambaran positif terhadap Israel di peringkat antarabangsa, selepas ramai penerbit lain menolak projek tersebut.
Menurut penganalisis dipetik laporan itu, penggabungan pelbagai saluran media di bawah satu kelompok pemilikan menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan media serta ruang kepada suara alternatif, khususnya liputan mengenai situasi di Gaza dan Palestin.
Usaha menggabungkan kuasa media tradisional, digital dan hiburan oleh keluarga Ellison itu dilihat sebagai perkembangan yang mampu memberi kesan besar terhadap pembentukan persepsi global dalam isu-isu geopolitik, termasuk konflik Palestin-Israel. – Dunia Palestin