Kisah ini telah disunting dari sesi podsiar Arabi Post bersama rakan universiti al-Syahid Yahya Sinwar di Universiti Islam Gaza iaitu, Dr. Ma’mun Abu Amer. Beliau merupakan pakar penganalisis politik Israel.
Siri 4: Pembebasan Sinwar, Memimpin Gaza dan Kesyahidan Sang Mujahid
Pada tahun 2011, terjadinya operasi yang amat masyhur dalam kalangan rakyat Gaza iaitu Operasi Wafa’ al-Ahrar. Briged al-Qassam berjaya menangkap Gilad Shalit yang menjadi gentian kepada 1057 tahanan Palestin yang meringkuk di dalam penjara penjajah.
Individu yang mengetuai operasi menangkap Gilad Shalit pada tahun 2006 ialah Muhammad Sinwar, adik kandung kepada Yahya Sinwar. Manakala yang mengemudi proses pertukaran ialah Yahya Sinwar sendiri, di samping ada juga beberapa pimpinan Hamas yang mengelola bersama dari Kaherah.

Pada mulanya, pihak penjajah hanya memberi jumlah 450 tahanan Palestin. Yahya Sinwar mengancam Israel, jika mereka tetap berdegil, mereka akan menahan lagi Gilad Shalit dan menambah lagi tawanan perang dari kalangan Tentera IOF.
Akhirnya, Israel tunduk dengan ancaman Sinwar ini dan beliau bersama 1057 tahanan yang terdiri dari pimpinan Hamas, Fatah, Jihad Islami dan PFLP.
Begitulah, keteguhan Yahya Sinwar.
Pada tahun 2012, setelah beliau bebas dan aku (Dr. Ma’mun Abu Amer) telah selesai pengajian PhD di Lubnan, aku pulang ke Gaza dan bertemu Abu Ibrahim.
Aku bertanya apa perancangan kau selepas ini?
Abu Ibrahim membalas: “Kami akan arahkan tumpuan kami kearah Timur Gaza, yakni penempatan haram Israel yang berada di sempadan Gaza. Kami akan jadikan pertahanan mereka sebagai kubu kuat kami untuk lebih mara.”
Aku tidak sedikit pun terkejut dengan jawapan beliau ini, kerana begitulah peribadi Abu Ibrahim seperti yang aku kenal sejak dahulu.
Tetapi aku ada juga membalas kepada beliau: “Engkau sedar tak apabila engkau menyerang kawasan ini, bukan sahaja Israel yang akan memerangi engkau, bahkan satu dunia akan berperang dengan engkau?”
Abu Ibrahim membalas: “Ya, aku sedar dan kami telah bersedia.”

12 tahun berlalu dan kita dapat lihat Operasi Taufan al-Aqsa.
Sejurus Sinwar dibebaskan, beliau tidak pernah duduk diam, lantas beliau diberi kepercayaan untuk mengemudi Hamas di Gaza. Pada awal tampuk beliau mentadbir Gaza, beliau amalkan satu polisi yang unik, iaitu: Polisi Keliru. Sinwar amalkan polisi yang kelihatan secara zahirnya, Gaza dalam keadaan yang tenang.
Beliau alihkan kerisauan Israel kepada Iran dan Selatan Lubnan atau Hezbollah.
Polisi ini jelas lagi kelihatan apabila Sinwar menggerakkan rakyat Gaza dengan satu program mega: ‘Masirat al-Audah al-Kubra’ atau ‘Great March of Return’, pada tahun 2018, yang Israel lihat hanyalah kebangkitan rakyat biasa bersama dengan Hamas. Zahirnya kelihatan lemah.

Namun, kejutan yang sebenar adalah pada 7 Oktober 2023, Operasi Taufan al-Aqsa.
Sinwar benar-benar telah menggoncangkan akar umbi Israel. Membuatkan aku benar-benar teringat dengan cara fikir Sinwar yang berpasakkan Surah al-Hasyr:
فَأَتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُمْ بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ٢
“Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” (Al-Hasyr: 2)

Aku juga dengan penuh yakin ketika meletusnya Operasi Taufan al-Aqsa, Sinwar-lah yang mengemudi operasi yang agung ini. Sejak beliau remaja, yang aku kenali peribadinya, beliau adalah pemimpin yang bukan sekadar mengarah dan memimpin dari jauh, bahkan beliau sentiasa bersama dengan orang bawahan dan pekerja biasa.
Kerana itulah ketika beliau syahid, beliau bukan syahid di tempat yang tersembunyi, bahkan beliau syahid di lapangan bersama peneman dan rakannya di Tal al-Sultan di Rafah. Begitulah yang aku kenali Yahya Sinwar sejak beliau masih remaja lagi!

Disunting oleh:
Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin

Hayati kisah perjuangan Al-Syahid Yahya Sinwar bersama rakan-rakannya di zaman pemuda dalam bentuk ilustrasi menarik. Sesuai dibaca oleh semua peringkat umur bersama seisi keluarga.
Dapatkan segera di sini.