Jurucakap sayap bersenjata Hamas hari ini berkata pejuangnya berjaya menangkap askar Israel semasa pertempuran di Jabalia di utara Gaza pada Sabtu.
“Pejuang kami berjaya memperdaya tentera Israel masuk ke dalam serangan hendap di dalam terowong sebelum kami melancarkan serangan.
“Tentera Israel berundur dengan meninggalkan semua anggota pasukan mereka yang mati, cedera, dan ditangkap,” kata Abu Ubaidah, jurucakap Briged Al-Qassam, dalam satu mesej yang dirakamkan dan disiarkan oleh Al Jazeera awal Ahad.
Dalam mesej video hamas selama empat minit, Abu Ubaidah turut mengecam kerajaan Israel kerana meneruskan dasar balas dendam dan pemusnahan yang membuta-tuli lagi tidak masuk akal, sehingga menyebabkan kegagalan terbaru operasi tentera Israel di Jabalia dan Rafah.
Katanya, pejuang Hamas melakukan berpuluh-puluh serangan terhadap IDF dalam lebih dua minggu pencerobohan darat Israel ke atas Rafah dan Beit Hanoon.
Beliau juga mendakwa tentera Israel sedang menggali mayat tawanan di Gaza hanya untuk propaganda peribadi Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, dengan menggambarkan penemuan mayat tawanannya sebagai pencapaian ketenteraan dan moral. – Berita Harian