Ketua Biro Hubungan Dunia Arab dan Islam Hamas, Dr. Basem Naim memberi amaran bahawa Israel sedang mengambil kesempatan daripada tumpuan dunia terhadap konflik perang di Iran untuk melaksanakan rancangan jahat terhadap rakyat Palestin serta tempat suci Islam, khususnya di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.
Menurut beliau, antara perkembangan yang membimbangkan ialah penutupan Masjid al-Aqsa kepada para jemaah yang masih berterusan walaupun dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Musuh Zionis mengambil kesempatan daripada kesibukan dunia dengan apa yang berlaku dalam serangan terhadap Iran untuk melaksanakan segala rancangan jahat mereka terhadap rakyat kami dan tempat suci kami, khususnya di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memberi amaran mengenai peningkatan ancaman terhadap Masjid al-Aqsa, termasuk kemungkinan usaha untuk merobohkan masjid tersebut dan membina apa yang didakwa sebagai “haikal” berdasarkan tafsiran ramalan yang diselewengkan oleh pihak Zionis.
Selain itu, katanya, perampasan tanah Palestin juga terus berlaku dengan kadar yang semakin pantas bagi tujuan pembinaan penempatan haram baharu oleh Israel.
Dr. Basem menegaskan bahawa situasi itu merupakan ancaman yang amat mendesak, nyata dan serius terhadap rakyat Palestin serta kesucian Masjid al-Aqsa.
Sehubungan itu, beliau menyeru negara-negara Arab dan umat Islam, termasuk kerajaan serta rakyatnya, agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan ancaman tersebut sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Anacaman ini amat mendesak, nyata dan serius. Semua pihak, Arab dan umat Islam, rakyat dan negara, perlu bertindak dengan segala cara sebelum terlambat,” katanya. – Dunia Palestin