Pemimpin Hamas, Izzat al-Rishq menegaskan bahawa sejak bermulanya penjajahan Palestin, gerakan kewartawanan negara itu sentiasa berada di barisan hadapan perjuangan, di medan pertempuran dan bersama kafilah syuhada.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif, yang disifatkannya sebagai ikon kebenaran dan saksi kebuluran di Gaza, selepas terbunuh dalam serangan udara Israel berhampiran Hospital al-Shifa pada Ahad.
Menurutnya, Anas bersama empat lagi petugas media, Muhammad Qreiqea, Ibrahim Daher, Moamen al-Weiwah dan Muhammad Noufal telah menyampaikan mesej perjuangan rakyat Palestin, merakam penderitaan dan kekejaman tentera Israel dengan suara dan gambar, serta menunaikan amanah kewartawanan sehingga mengorbankan nyawa.
“Daripada Ghassan Kanafani, Kamal Adwan, Kamal Nasser, Shireen Abu Akleh, dan ramai lagi telah menjadi penjaga kebenaran Palestin,” katanya dalam kenyataan.
Al-Rishq menambah, kehilangan Anas dan rakan-rakannya merupakan satu kehilangan besar kepada perjuangan membebaskan Palestin, namun nama serta pengorbanan mereka akan terus kekal terpahat sehingga pembebasan Masjid al-Aqsa. – Dunia Palestin