Gerakan Perjuangan Islam Hamas pada Isnin menganjurkan majlis sambutan di Kaherah bagi meraikan sekumpulan tahanan Palestin yang dibebaskan dan dipindahkan ke luar Palestin dalam fasa pertama Perjanjian Taufan Al-Aqsa.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pimpinan Hamas, Jihad Islami, Barisan Popular, beberapa fraksi Palestin lain, serta keluarga tahanan yang terlibat.
Difahamkan, delegasi kanan Hamas kini berada di Kaherah untuk pertemuan rasmi dengan pihak berkuasa Mesir bagi membincangkan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dijadualkan berlangsung dalam tiga fasa.
Menurut Hamas, tahanan yang dibebaskan merupakan individu yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan telah menjalani hukuman lebih 20 tahun di penjara rejim Israel.
Dalam ucapannya, wakil tahanan yang dibebaskan menyatakan penghargaan kepada rakyat Palestin dan pergerakan perjuangan, khususnya penduduk Gaza yang telah menghadapi serangan besar-besaran selama 471 hari daripada rejim Israel. – Dunia Palestin