‘Makanan di Gaza kini jadi barang mewah yang sukar dibeli’

Abeer Harkali, 30, sama seperti ramai penduduk Palestin yang lain di Gaza, telah kehilangan segalanya dalam tempoh setahun yang lalu akibat serangan berterusan Israel.

Kehidupan Abeer yang dahulu sederhana dan normal kini berubah menjadi gelap.

Rakyat Palestin di Gaza terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran, termasuk kehilangan keperluan asas akibat serangan udara dan tembakan yang tidak berkesudahan.

Menurut Abeer, setiap musim membawa cabaran baharu. Ketika musim panas, panas yang melampau hampir meragut nyawa, terutama mereka yang berlindung di khemah plastik.

Musim sejuk pula menyukarkan lagi kehidupan mereka, dengan sejuk yang mencengkam tanpa pakaian dan perlindungan yang mencukupi.

Banjir sering berlaku di kem pelarian, menyebabkan kesukaran untuk melindungi diri atau barang yang terhad.

Sebagai individu kurang upaya, Abeer menghadapi cabaran tambahan kerana tiada akses kepada ubat-ubatan atau barangan keperluan yang diperlukan.

Kerusi roda elektrik yang digunakannya untuk bergerak juga musnah akibat pengeboman, yang ada hanya kerusi roda manual lama yang tidak dapat dikendalikannya sendiri.

Kini, Abeer dan keluarganya tinggal di khemah di bekas sekolah UN. Dia hidup dalam ketakutan yang berterusan, seperti dalam filem seram yang tiada penghujung. Cabaran ini menyebabkan ketegangan keluarga dan masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dan kanak-kanak mengemis di jalanan.

Sekatan Israel turut menyebabkan harga barangan asas melambung tinggi. Menurut International Rescue Committee, keseluruhan penduduk Gaza seramai 2.1 juta orang kini memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk lebih daripada dua juta yang tidak mempunyai akses kepada air, makanan, tempat perlindungan, dan rawatan perubatan.

Abeer berkata, makanan kini menjadi barang mewah yang sukar dicapai.

“Harga barang tidak masuk akal,” katanya, dengan harga tomato yang dahulunya dua shekel kini meningkat kepada 40 shekel.

Bukan sahaja makanan, tetapi barangan kebersihan juga sukar didapati dan mahal.

“Tuala wanita, yang dulu berharga enam hingga lapan shekel, kini meningkat antara 50 hingga 80 shekel,” katanya. – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Osama Hamdan: Israel tidak akan wujud dalam masa 10 tahun

Next Post

Puluhan Ahli Parlimen desak UK henti eksport senjata ke Israel

Related Posts