Menteri Luar Turki pada Sabtu berkata bahawa usaha melucutkan senjata Hamas tidak boleh dijadikan keutamaan utama di Gaza ketika para pengantara sedang berusaha melaksanakan peringkat kedua pelan damai untuk wilayah Palestin itu, lapor Roya News.
“Ia tidak boleh menjadi perkara pertama dalam proses ini, pelucutan senjata. Kita perlu meletakkan perkara pada tertibnya, kita harus bersikap realistik,” kata Hakan Fidan ketika ditanya mengenai pelucutan senjata kumpulan bersenjata Palestin itu, yang sebelum ini ditegaskan oleh Hamas bahawa ia tidak akan dibenarkan.
Qatar dan Mesir, selaku penjamin gencatan senjata Gaza pada Sabtu menggesa pengunduran tentera penjajah Israel serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa sebagai langkah perlu seterusnya bagi melaksanakan sepenuhnya perjanjian rapuh itu.
Langkah tersebut diperincikan dalam pelan damai yang disokong AS dan PBB, yang sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran, meskipun pihak-pihak terlibat masih belum mencapai kata sepakat mengenai cara meneruskan fasa pertama perjanjian itu.
Peringkat awal perjanjian menyaksikan tentera penjajah Israel berundur ke belakang apa yang disebut sebagai “garisan kuning” dalam sempadan Gaza, sementara Hamas telah membebaskan semua tawanan Israel yang masih hidup dan menyerahkan hampir kesemua mayat mereka yang terbunuh, kecuali seorang. – Dunia Palestin