Ratusan penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan demonstrasi membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena sidang kemuncak ASEAN, lapor Al Jazeera.
Penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Merdeka dan kawasan Ampang Park di Kuala Lumpur dalam dua demonstrasi berasingan pada pagi dan petang Ahad bagi membantah sokongan Trump terhadap perang genosid Israel ke atas Gaza.
Trump berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di mana dia menyaksikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta mengumumkan beberapa perjanjian perdagangan.
Di Dataran Merdeka, para penunjuk perasaan yang memakai keffiyeh sanggup berpanas di bawah terik matahari sambil melaungkan slogan “Free, Free Palestine”.
Polis berkata mereka menjangkakan antara 1,000 hingga 1,500 peserta hadir pada perhimpunan anti-Trump itu pada Ahad, menurut agensi berita Bernama.
Pada sebelah petang, penunjuk perasaan kembali berhimpun di Ampang Park, lokasi asal perhimpunan, bagi meneruskan bantahan terhadap lawatan Presiden Amerika Syarikat itu. – Dunia Palestin