Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas menolak sebarang usaha penjajahan ke atas Semenanjung Gaza susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Dalam kenyataannya hari ini, PCOM menekankan kepentingan Malaysia sebagai negara yang konsisten mempertahankan keadilan dan undang-undang antarabangsa untuk menyatakan bantahan terhadap sebarang tindakan yang mencabuli kedaulatan Palestin.
“Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk menolak sebarang perancangan yang mencabuli hak rakyat Palestin serta menyertai seruan global dalam menentang sebarang bentuk penjajahan terhadap tanah Palestin,” menurut kenyataan itu.
PCOM turut menggesa Malaysia memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa, termasuk dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi menolak mentaliti kolonial yang boleh menggugat kestabilan serantau.
Malaysia sebelum ini telah lantang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin dan menegaskan pendirian menentang sebarang bentuk penjajahan serta pelanggaran hak asasi rakyat Palestin. – Dunia Palestin