Seorang bayi Palestin meninggal dunia akibat kesejukan di dalam khemah yang menempatkan keluarganya di selatan Gaza, menurut bapanya dan seorang doktor, ketika Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan bekalan musim sejuk ke wilayah itu, lapor Al Jazeera.
Bayi berusia sembilan bulan, Kinan Ahmed Raqiq, meninggal dunia akibat hipotermia di Khan Younis, selatan Gaza, menurut seorang doktor yang enggan dikenali kepada agensi berita AFP pada Khamis.
Bapa bayi itu, Ahmed Raqiq, berkata anaknya meninggal dunia selepas suhu sejuk melanda Gaza pada waktu malam.
“Saya terjaga dan mendapati kulitnya sudah bertukar kebiruan. Saya segera membawanya ke Hospital Nasser, tetapi dia sudah meninggal dunia akibat hipotermia dan kesejukan melampau,” katanya.
“Saya benar-benar terkejut. Saya mendapati diri saya sedang mendukung anak lelaki saya yang sudah dibalut dengan kain kafan,” katanya di luar hospital sambil menahan kesedihan dan mendukung jenazah anaknya yang dibalut dengan kain putih.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal turut mengesahkan kematian bayi itu akibat terdedah kepada suhu sejuk melampau, lapor rangkaian berita Palestin, Al-Quds. – Dunia Palestin