Seorang kanak-kanak perempuan nyaris maut selepas serangan udara Israel menyasarkan sebuah pangsapuri di barat Bandar Gaza awal pagi Rabu, menyebabkan mangsa terperangkap dalam kebakaran yang diselubungi api dan asap tebal, lapor Roya News.
Wartawan Palestin, Ali al-Jaafrawi merakam detik cemas itu menerusi video yang dikongsikan di media sosial, memaparkan usaha beliau menyelamatkan kanak-kanak itu.
Menurut al-Jaafrawi, pangsapuri itu diserang pada awal pagi dan kanak-kanak perempuan tersebut merupakan antara individu pertama yang ditemuinya di lokasi kejadian.
“Dia berada di tengah-tengah api sambil menangis. Kami tidak dapat masuk untuk menyelamatkannya kerana api marak dan asap terlalu tebal,” katanya.
Beliau berkata, akhirnya dia berjaya memasuki pangsapuri berkenaan dan membawa kanak-kanak itu keluar ke tempat selamat.
“Segala puji bagi Allah kerana dia terselamat. Semoga Allah menyembuhkan dan mengurniakan kesembuhan kepadanya,” katanya. – Dunia Palestin